
KUCHING: Seramai 30 pasukan veteran bola keranjang dari negara ASEAN bakal berentap pada Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN ke-35 2026 yang berlangsung di Kuching, sekali gus menjadikan bandar raya ini medan memperkukuh hubungan serantau menerusi sukan.
Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bertindak sebagai penaja lokasi bagi kejohanan berprestij tersebut yang turut disenaraikan sebagai salah satu acara sukan rasmi dalam kalendar Festival Kuching 2026.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, penganjuran kejohanan berkenaan selari dengan usaha MBKS memperkenalkan gaya hidup sihat dan aktif menerusi sukan, selain meraikan semangat komuniti yang menjadi sebahagian daripada Festival Kuching.
“Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN bukan sekadar pertandingan, tetapi platform memperkukuh persahabatan, semangat kesukanan dan hubungan lebih erat antara masyarakat Asia Tenggara menerusi bahasa universal sukan.
“Komitmen Kelab Bola Keranjang Hornbill dalam mempromosikan sukan bola keranjang serta mengeratkan hubungan antara komuniti sukan serantau amat dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN ke-35 2026 di MBKS, hari ini.
Kejohanan tahun ini menyaksikan penyertaan pasukan dari negara ASEAN kecuali Vietnam dan Kemboja, dengan Kuching turut diwakili enam pasukan yang memperlihatkan minat serta kekuatan komuniti bola keranjang tempatan.
Menurut Wee, peluang menjadi tuan rumah kejohanan tersebut memberi ruang kepada Kuching memperkenalkan kemudahan sukan, hospitaliti, budaya serta keunikan gastronomi tempatan kepada atlet, pegawai dan penyokong yang hadir.
Tambahnya, kehadiran peserta dari luar negara bukan sahaja memeriahkan pertandingan, malah membantu memperkukuh imej Kuching sebagai bandar raya yang mampu menjadi lokasi penganjuran acara sukan antarabangsa.
“Kita berharap kejohanan ini dapat mengukuhkan semangat persahabatan antara negara ASEAN serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan bola keranjang dan mengamalkan gaya hidup aktif,” ujarnya.
Kejohanan yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos 2026 itu akan menyaksikan kira-kira 500 pemain dan peserta berhimpun di Sarawak dengan semua perlawanan diadakan di Kampung Sukan MBKS.
Festival Kuching bukan sahaja menampilkan elemen makanan, budaya dan komuniti, malah turut menyediakan ruang kepada aktiviti sukan yang mampu menggalakkan penyertaan masyarakat.
Oleh Adele Rissa




