KUCHING: Festival Kuching 2026 mencatat kutipan sumbangan amal tertinggi hampir RM80,000 sejak festival itu diperkenalkan kira-kira 40 tahun lalu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, jumlah berkenaan mencerminkan keikhlasan dan keprihatinan para peniaga gerai dalam berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.
“Bukan jumlahnya tetapi keikhlasan dari hati untuk kita tidak melupakan anak Sarawak yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal 2026 di sini, semalam.
Menurutnya, Festival Kuching bukan sekadar platform untuk masyarakat menikmati pelbagai juadah dan aktiviti, malah turut menyemarakkan semangat kebersamaan serta sikap saling membantu.
Katanya, semangat itu mencerminkan keharmonian masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum apabila dapat bersama-sama berniaga, berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.

Pada majlis sama, Dr Sim turut menyampaikan sumbangan amal kepada 22 pertubuhan dan badan kebajikan yang menjalankan kerja kemasyarakatan dalam pelbagai bidang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga gerai Festival Kuching atas komitmen berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan.





