Kuching FC-Affin perkukuh jenama Sarawak di ASEAN

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika menyampaikan ucapan pada majlis kerjasama strategik antara Kuching City FC dan Affin Bank di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kerjasama strategik antara Kuching City Football Club (Kuching FC) dan Affin Bank Berhad bukan sekadar berkisar mengenai pembangunan bola sepak, malah menjadi platform untuk mengangkat nama Sarawak ke tahap lebih tinggi di peringkat ASEAN.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan aspirasi kedua-dua organisasi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing, dengan Kuching FC menyasarkan kejayaan dalam bola sepak manakala Affin Bank terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor perbankan.

Beliau berkata, perkembangan Kuching FC sejak beberapa tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara berbanding prestasi bola sepak Sarawak pada awal 2000-an.

PERTUKARAN perjanjian kerjasama antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC Iswandi Ali Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, selepas selesai majlis menandatangani perjanjian, yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Kuching City FC, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, di Kuching, hari ini.

“Alhamdulillah, sekarang bola sepak kita boleh tahanlah. Kuching FC boleh berdepan dengan Johor dan kita boleh masuk final melawan Johor, walaupun kalah pada saat akhir.

“Ini menunjukkan pasukan bola sepak kita telah meningkat dari sudut permainan. Yang penting, pasukan kita kini boleh bersaing di peringkat ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik antara Kuching FC dan Affin Bank, di sini.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi Kumpulan AFFIN, pengurusan Kuching City FC (KCFC) serta barisan pemain KCFC selepas majlis pemeteraian kerjasama strategik antara kedua-dua pihak di Hikmah Exchange Kuching, hari ini.

Menurut Abang Johari, Kuching FC perlu mempunyai sasaran lebih tinggi dan tidak sekadar berpuas hati dengan pencapaian di peringkat tempatan.

“Kuching FC mahu menjadi juara dalam bola sepak. Kalau tidak mempunyai ambisi untuk menjadi juara, kita tidak akan menyertai pertandingan.

“Affin juga mahu menjadi juara dalam bidang perbankan. Jadi, kedua-dua organisasi ini akan memainkan peranan masing-masing untuk membawa nama Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata pembangunan bola sepak perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk membina keyakinan dan keupayaan Sarawak bersaing di peringkat serantau.

Katanya, prinsip sama turut diterapkan dalam pembangunan sektor ekonomi baharu termasuk bioteknologi, apabila Sarawak perlu berani menetapkan sasaran lebih tinggi serta mempunyai strategi untuk merealisasikan aspirasinya.

Beliau berkata sektor tenaga pula menjadi antara kekuatan utama Sarawak yang boleh dimanfaatkan untuk merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi lain.

“Sarawak sekarang dalam pembangunan, tenaga sangat penting. Kita agak ke hadapan dalam tenaga, termasuk tenaga hijau.

“Kita sepatutnya berada di hadapan dalam sektor-sektor lain yang lahir daripada kekuatan tenaga ini,” katanya.

Abang Johari berkata sektor perbankan dan kewangan juga merupakan instrumen strategik dalam memperluas nilai ekonomi Sarawak ke seluruh rantau.

Menurutnya, kedudukan Sarawak dalam pembangunan tenaga turut membuka peluang lebih luas untuk negeri ini memainkan peranan dalam ekonomi ASEAN.

Beliau berkata, perbincangan bersama komuniti perniagaan Indonesia turut menyentuh cadangan pembentukan Borneo Business Community, yang boleh menjadikan Borneo sebagai satu platform ekonomi bagi mengukuhkan peranan rantau itu dalam pembangunan ASEAN.

“Kita akan menjadi ‘battery of ASEAN’ untuk membekalkan tenaga kepada ASEAN melalui ASEAN Grid dan ini tentunya akan membuka banyak peluang untuk kita, termasuk bola sepak,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap kerjasama antara Kuching FC dan Affin Bank dapat membuahkan kejayaan bukan sahaja di padang bola sepak, malah turut memperkukuh sektor perbankan dan ekonomi Sarawak.

Beliau turut menyifatkan kerjasama itu sebagai satu langkah penting dalam usaha membawa jenama dan aspirasi Sarawak ke pentas lebih luas di rantau ASEAN.

Oleh Afiq Sallehi