SEMPENA ulang tahun bandar raya Kuching pada bulan ini, wacana kali ini cuba melihat beberapa perubahan dan pengekalan yang berlaku. Seperti yang kita maklum bahawa Kuching hari ini telah membangun dengan pesat. Pusat bandarnya yang terletak sekitar Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Haji Taha, Jalan Gambier, Jalan MacDougall, Main Bazaar, Lebuh India, Lebuh Carpenter dan Jalan Tuanku Abdul Rahman telah mengalami beberapa perubahan.
Namun demikian tidak semua yang berubah. Rumah-rumah kedai di Jalan Gambier dan Lebuh India masih kekal seperti dahulu. Begitu juga dengan pengekalan lorong sempit yang menghubungi Jalan Gambier dan Lebuh India. Peniaga rempah ratus masih lagi kekal berniaga sejak dahulu sehingga ke hari ini. Beberapa perubahan ketara yang berlaku adalah pembinaan Masjid Terapung yang terletak di tebingan sungai Sarawak. Ia mengantikan sebuah masjid yang telah didirikan pada 1934. Kedatangan orang India Islam ke Kuching pada abad ke-19 membawa kepada perkembangan perniagaan di Lebuh India termasuk pembinaan masjid ini.
Kesibukan
Jalan Gambier ini juga mempunyai sejarah yang cukup menarik. Jalan ini dianggap antara paling sibuk dan sering sesak dengan pengunjungnya untuk membeli barang keperluan harian. Di sinilah terdapat satu pasar yang dikenali sebagai Pasar Ceko yang menjadi kawasan menjual buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam serta rempah ratus. Pengunjung juga boleh menikmati mi jawa, roti bakar dan telur separuh masak di Pasar Ceko.
Dari pasar ini munculnya peniaga sate yang terkenal dengan nama sate ceko.
Pasar ini telah siap dibina sekitar 1935. Ia menjadi nadi penting dalam aktiviti berjual beli dalam kalangan penduduk Kuching. Pelbagai kaum menjalankan perniagaan di pasar ini. Akhirnya Pasar Ceko menjadi kenangan pada masa kini apabila ia dirobohkan untuk dijadikan kawasan esplanad yang ada pada hari ini. Esplanad yang dibina itu bukan sahaja merobohkan Pasar Ceko tetapi gudang-gudang di sepanjang Sungai Sarawak. Gudang-gudang ini dahulunya menyimpang pelbagai barangan hasil hutan dan getah serta komoditi perdagangan yang lain.
Bertentangan dengannya pula terdapat deretan kedai yang dikenali sebagai ‘Main Bazar’. Dahulu kedai-kedai ini menjadi kawasan yang mengendalikan perniagaan hasil hutan untuk dieksport ke luar negara. Perubahan masa mengubah fungsi asal ‘Main Bazar’ ini apabila ia menjadi kawasan tarikan pelancongan dengan menjual pelbagai barang cenderahati, tikar rotan dan barang kraftangan penduduk pedalaman Sarawak. Di situ juga boleh didapati penjual kek lapis Sarawak yang sering mendapat tempat dalam kalangan pelancong ke Kuching.
Tidak berubah
Selain ‘Main Bazar’ yang kekal tidak berubah beberapa lagi bangunan yang ikonik bagi Kuching masih kekal sehingga kini. Antaranya adalah Bangunan Mahkamah Cina, Bangunan Pejabat Pos, The Square Tower, Bangunan Mahkamah dan Pavilion. Bagaimanapun, bangunan-bangunan ini mula berubah dari segi fungsinya. Ada yang menjadi tempat pameran, restoran, muzium dan sebagainya. Hanya Bangunan Pejabat Pos kekal fungsinya sebagai khidmat pos utama di bandar raya ini.
Masjid tertua di bandar raya Kuching yang dibina pada 1847 pula mengalami banyak perubahan seni binanya. Perubahan jelas berlaku pada 1880 apabila simen mengantikan kayu sebagai bahan utama struktur masjid tersebut. Seterusnya kubah besar diperkenalkan pada 1929. Selepas Sarawak mencapai kemerdekaan menerusi penubuhan Malaysia, maka pada akhir 1960-an, masjid ini telah dirobohkan dan diganti dengan masjid baharu yang masih lagi kekal sehingga ke hari ini.
Pada 1970-an dan 1980-an, terdapat satu kawasan berdekatan dengan masjid ini yang dikenali sebagai Padang Pasir. Kawasan ini berupa kawasan letak kereta dan menjadi kawasan tumpuan pada penduduk Sarawak
menjelang Ramadan. Kawasan itu menjadi tapak bazar Ramadan yang cukup meriah pada masa itu. Hari ini hanya tinggal kawasan tempat letak kereta.
Rumah ibadah
Sementara itu beberapa rumah ibadah kaum Cina juga masih kelihatan kekal di Kuching. Yang paling terkenal adalah Tua Pek Kong yang berdiri atas kaki bukit menghala ke Sungai Sarawak. Tua Pek Kong ini yang dibina sekitar 1874 menyaksikan banyak perubahan di sekelilingnya tetapi ia tetap kukuh di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Padungan. Keadaan serupa juga untuk Gereja St Joseph yang dibina pada 1891. Walaupun terdapat sedikit gangguan kepada gereja ini semasa pendudukan Jepun, bangunannya masih lagi tidak berubah dari segi struktur.
Satu lagi bangunan yang tersergam indah pada satu ketika dahulu di Kuching ialah bangunan Muzium Sarawak. Muzium ini dibina pada 1889 dan siap sepenuhnya pada 1891. Struktur bangunan muzium ini sering berubah. Pada 1911 berlaku penambahan sayap baharu bangunan muzium tersebut.
Pawagam
Kuching juga tidak terkecuali daripada perkembangan industri perfileman dengan kemunculan beberapa pawagan di bandar ini. Pawagam Sylvia yang merupakan antara pertama ditubuhkan (1934) telah menjadi tempat penduduk tempatan untuk menonton filem-filem barat, Cina dan Melayu. Pawagam ini memberi khidmat kepada penduduk Kuching sehingga 1966 apabila ia dirobohkan bagi mendirikan bangunan kerajaan.
Selain Pawagam Sylvia terdapat beberapa lagi pawagam yang pernah muncul pada zaman kegemilangan layar perak. Antara yang muncul adalah Pawagam Rex, Miramar dan Lilian. Pawagam Rex memberi kesan mendalam kepada penduduk Kuching dengan ada pusat penjaja makanan yang terkenal. Disini munculnya beberapa makanan yang sinonim dengan pawagam tersebut iaitu sate Rex dan cucur udang Rex.
Perubahan teknologi penayangan filem telah menamatkan era kegemilangan pawagam-pawagam seumpama ini. Oleh itu satu persatu pawagam ini ditutup, diganti dengan pawagam yang menggunakan teknologi 3D dan D-Box.
Salah satu elemen alam yang hilang di bandar raya Kuching ini adalah Sungai Gartak. Dalam peta Kuching pada 1870 menunjukkan ada sebatang sungai yang berdekatan dengan Lebuh India. Sungai tersebut telah ditebus guna pada 1921 untuk memberi laluan pembinaan Stesen Kuasa Electrik bagi Kuching.
Paparan wacana tentang perubahan dan penerusan ini hanya sedikit sahaja yang dapat dicatat. Ini kerana banyak lagi perkara boleh disentuh tentang hal ini seperti Pasaraya Ting Ting, Hotel Arif, Hotel Aurora, Limbungan Kapal Brooke, Electra House dan Pusat Penjaja Makanan Batu Lintang.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).