


BANJIR di sekitar Kuching petang ini.
KUCHING: Hujan lebat yang melanda sejak 3.00 petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di pusat Bandar Raya Kuching dinaiki air, sekali gus menjejaskan aliran trafik.
Antara jalan yang terkesan termasuk Jalan Abell, Jalan Pending dan Jalan Padungan yang dilaporkan mengalami kesesakan berikutan limpahan air sehingga ke permukaan jalan.
Sejumlah kenderaan dilihat terkandas, manakala pengguna jalan raya terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing untuk mengharungi banjir kilat tersebut.
Pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati semasa memandu di kawasan terjejas.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan sekitar 1.00 petang tadi turut mengeluarkan amaran ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berterusan sehingga 5.00 petang.
Amaran itu meliputi beberapa bahagian di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
MetMalaysia memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang boleh berterusan lebih daripada sejam.
Oleh Shahrul Qaizat, Masrin Affirah dan Shikin Mahmud