
WUHAN: Bandar raya Kuching terus mencuri perhatian di peringkat antarabangsa apabila ditampilkan sebagai contoh model pembangunan mampan berasaskan budaya, pelancongan dan regenerasi bandar pada Forum Antarabangsa Pembangunan Bandar Mampan Dipacu Budaya dan Kreativiti 2025 di Wuhan, China.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng yang menyampaikan pembentangan pada forum itu menegaskan bahawa Kuching berjaya membuktikan bagaimana integrasi rentas sektor dapat memacu pertumbuhan bandar yang inklusif dan mampan.
Forum anjuran Sekretariat Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO, Biro Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Luar Bandar Wuhan serta Institut Perancangan dan Reka Bentuk Wuhan itu menghimpunkan pemimpin bandar raya dunia, pakar dan penggubal dasar bagi berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan bandar mampan.

Dalam pada itu, beliau mengetengahkan pencapaian Kuching sebagai bandar pertama di Malaysia diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO selain turut bergelar Bandar Perpaduan, Bandar Kraf Dunia serta menyertai Inisiatif Bandar Sihat, Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak dan Rangkaian Bandar Mesra Warga Emas WHO.
Menurutnya, integrasi itu membuktikan bahawa gastronomi bukan sekadar makanan, tetapi pemacu kepada sumber rezeki, inovasi dan pelancongan, manakala eko-pelancongan pula melindungi biodiversiti di samping mewujudkan peluang pekerjaan.
“Dasar regenerasi bandar turut memperkukuh inklusiviti melalui pemulihan ruang awam yang lebih mesra kanak-kanak dan warga emas. Inisiatif rentas sektor ini membentuk satu kitaran baik budaya menarik pelancongan, hasil pelancongan menyokong regenerasi manakala regenerasi memperkayakan pengalaman budaya dan pelancongan,” katanya.

Beliau turut menegaskan model pembangunan Kuching adalah selari dengan Manifesto Braga mengenai Budaya dan Kelestarian Agenda serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 2030 (PCDS 2030) Sarawak yang meletakkan budaya sebagai teras dalam perancangan pembangunan.
“Kuching menunjukkan bahawa bandar sederhana juga mampu memainkan peranan kepimpinan global dalam membina masa depan yang mampan dan berpusatkan rakyat,” ujarnya.