Pemain Kuching City FC, Jordan Mintah (kanan) diasak pemain Imigresen FC, Nicholas Ryan Swirad pada perlawanan Liga Super 2026 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar. - Foto BERNAMA
KANGAR: Kuching City FC mencatat kemenangan 1-0 ke atas Imigresen FC hasil sepakan penalti penyerang mereka Wanja Ronald Ngah pada minit ke-84 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.
Bertindak sebagai tuan rumah di gelanggang baharu, Imigresen FC mempamerkan disiplin tinggi di bahagian pertahanan bagi mengekang asakan pasukan pelawat yang lebih menguasai permainan, terutama menerusi gerakan Joao Pedro Da Silva Freitas.
Penjaga gol Imigresen FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, turut beraksi cemerlang dengan beberapa kali menafikan percubaan berbahaya Kuching City FC, sekali gus memastikan kedudukan kekal tanpa jaringan sepanjang sebahagian besar perlawanan.
Memasuki separuh masa kedua, Kuching City FC meningkatkan tekanan dan memperoleh beberapa peluang termasuk menerusi sepakan penjuru, namun kekentalan benteng pertahanan tuan rumah mengekang usaha mereka.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-84 apabila pengadil, Afdzal Hilmi Zulkiflee, menghadiahkan sepakan penalti kepada Kuching City FC susulan insiden di dalam kotak penalti.
Wanja Ronald Ngah tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk membawa pasukannya meraih tiga mata penuh.
Dengan keputusan ini, Kuching City FC kekal di tangga keempat dengan 34 mata, manakala Imigresen FC berada di tangga kelapan dengan 18 mata selepas 17 perlawanan.– BERNAMA