KUCHING City FC baru-baru ini telah mengumumkan mereka telah mengikat kontrak tiga pemain pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim musim ini.
Tiga pemain tersebut adalah Hidhir Idris, Shafizi Iqmal dan Wan Muhammad Faiz.
Hidhir, 25, merupakan pemain Kedah Darul Aman yang dipinjamkan ke Kuching City. Pemain tengah berusia 25 tahun itu merupakan antara pemain utama ketika beliau dipinjamkan oleh Kedah ke PDRM musim lepas.
Beliau yang menyertai skuad The Cats secara pinjaman selama setahun itu berazam untuk membawa pasukan kendalian Ifran Bakti Abu Salim itu untuk layak ke Liga Super musim depan.
“Saya berasa teruja dan berterima kasih kepada pengurusan Kuching City FC kerana memberi peluang untuk saya menjadi sebahagian daripada senarai pemain mereka pada musim ini.
“Saya juga melihat kesempatan untuk mendapat tunjuk ajar daripada Irfan Bakti yang merupakan salah seorang jurulatih berpengalaman di negara kita, sesuatu yang sukar dilepaskan,” ujarnya.
Shafizi Iqmal pula menyertai Kuching City daripada kelab Selangor.
Berusia 23 tahun, penyerang muda ini telah berkhidmat dengan Kelantan United musim lalu dan pernah tersenarai mewakili skuad bawah 18 dan 19 tahun kebangsaan pada kejohanan AFF serta AFC bersama beberapa pemain ternama lain seperti Nik Akif, Akhyar Rashid dan Hadi Fayyad.
Pemain ketiga yang dibawa masuk Kuching City adalah Wan Muhammad Faiz, yang mana merupakan pemain Penang.
Kuching City kini sedang memperkuatkan barisan utama kelab tersebut dan dilihat bakal meletak harapan untuk ke Liga Super pada musim 2023 kelak.
Pada tahun lepas, Kuching City FC menamatkan saingan Liga Premier di tempat kelima selain layak beraksi pada Piala Malaysia.
Oleh ADI SAFARMAN