ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Bandar Raya Kuching ibaratkan ‘bandar berhantu’ iaitu ungkapan menjelaskan situasi semasa betapa lengangnya bandar yang merupakan ibu negeri Sarawak ini setelah memasuki hari kelapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Malaysia.
Ini ditambah lagi dengan perintah sekatan perjalanan yang bermula jam 7.00 malam hingga 7.00 pagi setiap hari oleh Kerajaan Sarawak yang mana hanya mereka yang mempunyai kelulusan perjalanan, barisan hadapan yang bertugas, warga media dan beberapa perkhidmatan penting sahaja dibenarkan bergerak pada waktu itu.
Bandar Raya Kuching terus sepi dan lengang termasuk di tempat-tempat tumpuan umum, sebagai contoh Jalan Main Bazaar yang sentiasa sibuk dengan pelancong kini kosong tanpa pengunjung selain kedai-kedai disekitarnya ditutup.
Manakala jalan-jalan raya yang sentiasa sesak pada hari biasa turut lengang, begitu juga dengan tempat rekreasi, fasiliti sukan dan tempat awam serta pusat membeli belah, terus kosong seperti tidak penghuni.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa PKP dilanjutkan sehingga 14 April ini berikutan jangkitan Covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan, ini menjadikan seluruh negara menjalani PKP hampir sebulan yang mana ia telah bermula 18 Mac lalu.
Tinjauan Utusan Sarawak di sekitar bandar mendapati tempat yang agak ramai adalah di pasar raya dan beberapa pasar basah berikutan orang ramai hendak membeli keperluan asas selain banyak yang sudah menerima gaji bulanan.
Namun pasar raya di sekitar bandar raya boleh dipuji kerana mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan berjaga-jaga yang ketat antaranya mengarahkan orang ramai mencuci tangan terlebih serta memeriksa suhu badan dahulu sebelum dibenarkan masuk, selain hanya seorang wakil dibenarkan masuk.
Sementara menunggu giliran masuk itu, orang ramai turut bersusun dengan mengamalkan jarak sosial satu meter antara satu sama lain dan selepas selesai membeli belah, mereka kelihatan terus bergerak pulang ke rumah masing-masing, dan ini menunjukkan kesedaran yang tinggi dikalangan masyarakat.
Manakala tinjauan di waktu malam juga mendapati keadaan semakin sunyi sepi dengan yang banyak kelihatan adalah sekatan-sekatan polis di kebanyakkan tempat bagi mengekang orang ramai daripada berjalan atau bergerak tanpa tujuan.
Sekitar jam 7.00 malam, dapat dilihat di jalan raya adalah orang ramai yang balik kerja dan yang mana kebanyakkan adalah ‘abang-abang’ penghantar iaitu mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan seperti ‘Food Panda’, “Grab Food’ dan beberapa lagi.
Orang ramai juga difahamkan semakin banyak menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dan barang seperti yang disarakan oleh Perdana Menteri kerana ia lebih selamat selain mengurangkan kesesakan di tempat awam.
Sehubungan itu, diharap situasi ini akan berterusan untuk tempoh tiga minggu lagi dari sekarang, ini adalah amat penting untuk memutuskan rantai penularan wabak Covid-19 seperti yang kita lihat diamalkan oleh negara China yang menunjukkan hasil amat bagus sekali.