
DARO: Semangat kesukanan serta perpaduan komuniti jelas terpancar menerusi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Pengerusi Saberkas Cawangan Daro Edisi Ketujuh, yang berlangsung dengan meriah di Kompleks Sukan di sini, semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang juga Setiausaha Agung Saberkas Negeri Sarawak, dengan sepak mula rasmi sebagai tanda simbolik pembukaan kejohanan.
Sebanyak 10 pasukan yang mewakili kampung masing-masing dari Tanah Besar Daro berentap dalam kejohanan kali ini yang bertujuan menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat selain memperkukuh semangat perpaduan masyarakat setempat.
Edisi tahun ini menyaksikan Kubaru FT dinobatkan sebagai juara, manakala Masbina FT muncul naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Tebaang FC.
Dalam ucapannya, Safiee menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan yang bertanding serta memuji usaha berterusan Saberkas Cawangan Daro yang konsisten menganjurkan kejohanan tersebut saban tahun sebagai platform mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja mengukuhkan semangat kesukanan, tetapi juga mempererat hubungan komuniti, terutamanya dalam kalangan belia yang merupakan aset penting pembangunan daerah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang hadir memberikan sokongan padu, sekali gus menyemarakkan suasana pertandingan di padang.
Turut hadir Pemanca Lau Oi Phen, Penghulu Abu Bakar Salleh, Penghulu Bahiri Selakong, serta ketua-ketua kampung dari Tanah Besar Daro.
Oleh Tarani Lanting