SIMUNJAN: Sudah tiba masanya rakyat Sarawak menghantar pasukan teramai dan kuat di Parlimen supaya ‘suara anak Sarawak’ didengar Putrajaya dalam usaha berterusan memperjuangkan hak negeri ini yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pada masa yang sama kemenangan besar 31 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat penting bagi membentuk keabsahan Kerajaan Persekutuan yang lebih stabil.
“Ya… sudah tiba masanya suara kita harus kuat dan didengari di sana (Putrajaya),” katanya berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung Pisang Simunjan sebentar tadi.
GPS adalah gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bimiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding di semua 31 kerusi Parlimen.
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi),
SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, gabungan itu ditubuhkan adalah untuk memperjuangkan hak Sarawak dalam Malaysia.
Oleh itu katanya, pada PRU-15 ini, adalah untuk menentukan kerajaan yang stabil.
Beliau berkata, GPS kini bertanding secara solo tanpa ikatan dengan mana-mana parti atau gabungan parti lain setelah ia keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.
“Kita telah menjalani Pilihan Raya Negeri (PRN12) lepas apabila bertanding 82 kerusi (menang 76). Kali ini kita akan bertanding 31 kawasan Parlimen termasuk kawasan di Simunjan (Parlimen Batang Sadong).
“Kita harap GPS memperoleh kemenangan yang besar. Malah kita hantar wanita (ke Parlimen) dan kita harus calonkan wanita kerana wanita telah berjuang bersama calon lelaki yang lain.
“Memang kita berkehendakkan pemimpin yang terlatih seperti calon baharu di Batang Sadong (Rodiyah Sapiee),” katanya.
Abang Johari turut menjelaskan pengunduran Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan perjuangan yang ikhlas dalam PBB untuk memberi laluan kepada orang lebih muda.
“Inilah pusingan dalam parti kita. Kita beri laluan kepada yang muda dan berpelajaran. Kita gantikan calon wanita di Batang Sadong untuk kita hantar Nancy (Shukri) ke Santubong.
“Begitu juga Dato Sri Rohani Karim, kita gantikan orang muda di Batang Lupar. Jadi apa yang penting adalah perpaduan antara kita berbilang kaum dan agama. Perpaduan di Sarawak begitu menyerlah,” katanya.
Selepas program itu, Abang Johari kemudian merasmikan Masjid Darul Amilin, Kampung Tanjung Pisang, Simunjan
Untuk makluman, bangunan Masjid Darul Amilin, Kampung Tanjung Pisang Simunjan ini bermula dengan sebuah bangunan surau yang dibina pada 1970.
Ia asdalah sumbangan Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen dan seterusnya pada 1996 melalui dana yang diperuntukkan oleh ADUN Sebuyau, DatukJulaihi Narawi.
Pada 2017, masjid ini dibina semula di tapak yang sama dibawah peruntukkan dana Dato Sri Nancy Shukri dan ADUN Simunjan, Awla Dris. Ia siap dibina sepenuhnya pada 2018.
Oleh AZREEN KERIA / NICKELYSON LAKUN