
JULAU: Kepentingan menguasai ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) ditekankan oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien semasa merasmikan Bilik Digital di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau, semalam.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif penubuhan bilik digital tersebut yang diyakininya selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.
“Saya menyokong penuh inisiatif ini dan memuji inisiatif ini kerana pada masa hadapan kita mesti memberi keutamaan kepada perkara berkaitan STEM.
“Kerana sekarang, kita mempunyai kecerdasan buatan (AI) dan selaras dengan itu, STEM adalah antara perkara yang boleh diberi perhatian,” katanya dalam satu hantaran di media Facebook rasminya.
Larry yang juga Pengerusi Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB) menegaskan bahawa penguasaan teknologi seperti AI amat penting bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pesat dunia.
“Jika kita tidak belajar AI dengan cepat, kita takut kita ketinggalan dan ini akan memudaratkan kita terutamanya generasi muda.

“Dunia kita sedang berkembang dan kita mesti melihat apa yang baru,” katanya.
Beliau turut memberi contoh perkembangan teknologi yang semakin menggantikan tenaga manusia dalam pelbagai bidang pekerjaan.
“Dalam bidang lain, banyak robot kini digunakan untuk menggantikan kita manusia.
“Mana tahu, mungkin di masa depan, robot akan bekerja sebagai kerani, menghantar makanan menggunakan robot dan banyak lagi pekerjaan yang akan hilang,” katanya lagi.
Beliau menggesa agar masyarakat sentiasa bersedia menghadapi perubahan ini dengan memajukan diri serta menguasai ilmu teknologi.
“Kita mesti berubah dan berfikir bagaimana untuk memajukan diri dan negara.
“Semoga kita tidak ketinggalan dalam arus dunia teknologi yang semakin pesat membangun hari ini,” katanya.
Oleh Earl Anek