
PETRA JAYA: Menguasai ilmu dan menjadi masyarakat yang berinovasi ialah satu bentuk jihad atau perjuangan dalam usaha memacu kemajuan negara serta memperkukuh ekonomi, selari dengan semangat Malaysia MADANI, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata melihat kepada krisis Asia Barat kini, antara bidang yang mempunyai peluang besar untuk diterokai ialah sektor keterjaminan makanan, kewangan dan tenaga.
“Negara kita sekarang masih banyak mengimport … dalam konteks keterjaminan makanan, kita masih import beras dan buah-buahan pula, orang masih suka makan buah import, jadi bagaimana kita nak menguasai bidang ini? Sama ada kita perlu import ataupun kita boleh hasilkan secara tempatan … perkara ini juga jihad.
“Ada peluang untuk kita wujudkan ekonomi tempatan supaya pada masa yang sama, kita tidak lagi mengeluarkan duit untuk mengimport barang dan dengan cara itu, duit akan berada di dalam negara untuk kita bangunkan, bukan sahaja (dari segi) pembangunan (negara), tetapi juga membangunkan masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jelajah Kongres Jihad Bisnes 2026 Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DIPM) di sini, hari ini.
Fadillah berkata peluang ekonomi turut terbuka luas dalam sektor perkhidmatan termasuk kewangan, selain sektor tenaga dan air yang memerlukan kepakaran serta kemahiran untuk menguasainya.
Beliau berkata DIPM berperanan penting sebagai platform menghimpunkan usahawan dan pemain industri bagi saling membantu serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam memajukan ekonomi ummah.
Usaha itu, katanya, perlu disokong dengan penguasaan ilmu, kemahiran serta amalan perniagaan yang baik supaya manfaatnya dapat dinikmati bukan sahaja oleh usahawan, tetapi juga oleh masyarakat secara keseluruhan.
-Bernama