SARIKEI: Kerajaan memberikan penekanan kepada bahasa Inggeris agar para pelajar dapat memahami unsur-unsur dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, setakat ini, buku-buku dalam bahasa Melayu untuk STEM masih kurang.
“Kem Karnival S.T.E.M 2024 merupakan satu daripada pendekatan kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk semua pihak memahami pentingnya STEM dalam pembangunan negara.
“Di Sarawak, tiap-tiap tahun, jumlah pelajar yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih kurang 40,000 orang.
“Daripada 40,000 orang ini, sebahagian atau lebih kurang 15 peratus yang akan meneruskan pengajian mereka ke jurusan lebih tinggi iaitu dalam asas (foundation) ataupun matrikulasi, diploma dan sebagainya.
“Selebihnya adalah tidak mendapat peluang untuk meneruskan pengajian mereka…Oleh sebab itu, kerajaan menyediakan aliran pengajian STEM ataupun teknikal dan vokasional (TVET), di mana ramai pelajar yang berminat dari segi bidang pendawaian, kimpalan dan sebagainya,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Kem Karnival S.T.E.M 2024 anjuran Sarawak Badan Amal Isteri-Isteri Menteri (SABATI) yang dikelolakan bersama oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Mandor Aris dan SK Jawa bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Selalang, hari ini.
Kem ini berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
Tambahnya, kini dalam jurusan pengajian bidang TVET terdapat peringkat diploma, ijazah, master dan PHD.
“Oleh sebab itu, kecenderungan para pelajar dalam bidang STEM harus dipertingkatkan lagi.
“Program yang kita adakan pada hari ini merupakan pendekatan yang terkini oleh kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian mereka dalam bidang akademik akan diberi peluang dan ruang untuk didedahkan di dalam pengajian TVET.
“Misalnya di Sarawak, kita mempunyai Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) yang menyediakan pelbagai program pengajian seperti kimpalan, digital dan jurusan yang menjurus kepada teknikal dan vokasional,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga program-program dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) iaitu Jerayawara Project of Dream Realized (PRO-DR).
“Oleh sebab itu, kita bekerjasama dengan pengetua serta guru-guru di seluruh Sarawak untuk melibatkan para pelajar dari peringkat awal,” katanya lagi.
Turut hadir, isterinya yang juga Penyelia SABATI Kuala Rajang Datin Asiah Awai, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh Anna Su Siew Ling selaku penceramah jemputan, Guru Besar SK Mandor Aris Zainal Abidin Tajudin dan Guru Besar SK Jawa Marcus Enggai.
Oleh Earl Anek