BARU-baru ini tercetus berita mengenai hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah dikurangkan daripada 12 tahun ke 6 tahun manakala denda juga dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta. Lembaga juga menyatakan bahawa tempoh penjara bekas Perdana Menteri tersebut akan ditambah setahun lagi sekiranya gagal membayar denda.
Terdahulu, Mahkamah sebelum ini mensabitkan beliau bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. Berdasarkan pengurangan tersebut, maka dijangka bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028. Sudah pasti, ketika itu beliau perlu menunggu 5 tahun lagi sebelum bertanding dalam pilihan raya umum.
Namun, permohonan pengampunan boleh dilakukan sekali lagi kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim bagi mendapatkan pengampunan penuh. Namun ini tertakluk kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Baginda Agong.
Perspektif Perlembagaan Negara
Kuasa pengampunan sebenarnya ada dalam Perlembagaan Negara. Dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan: Kuasa pengampunan dan sebagainya, telah dinyatakan bahawa “Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.”
Dalam Perkara 42 tersebut, ternyata kuasa pengampunan ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Bermakna baginda mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan. Terdapat tiga keanggotaan yang dihormati dan bebas daripada pengaruh politik dilantik. Ia juga dianggotai oleh Peguam Negara dan Menteri Wilayah. Perdana Menteri tidak terlibat dalam Lembaga tersebut. Mana-mana anggota bebas memberikan apa-apa pandangan. Baginda akan mendengar dan mengambil segala pertimbangan sebelum membuat keputusan akhir. Selepas Keputusan dibuat, Keputusan tersebut adalah muktamad dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah. Keputusan Mahkamah Rayuan ‘Anwar vs Khairul Azam’ pada 2023 misalnya adalah bukti mengenai kuasa dan budi bicara Agong kuasa tertinggi selepas mempertimbangan pandangan dan nasihat pelbagai pihak termasuk ahli Lembaga dan Peguam Negara dalam membuat keputusan yang tidak boleh dicabar oleh mana-mana mahkamah.
Lazimnya selepas pesalah menghabiskan satu pertiga menjalani hukuman, maka baharulah Lembaga Pengampunan membuat pertimbangan pengambungan. Namun dalam kes Najib Tun Razak, tempoh beliau belum sampai satu pertiga daripada hukuman yang dijalankan, Lembaga Pengampunan menyantuni permohonan Najib Razak. Ternyata, sekali lagi kuasa Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak menentukan tanpa perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Pengurangan Hukuman
Dalam kes Najib Tun Razak, ia bukanlah pengampunan. Sebaliknya kategori ketiga, iaitu pengurangan hukuman. Peranan Lembaga Pengampunan bukanlah institusi seperti mahkamah. Kewujudan Lembaga Pengampunan ini adalah berdasarkan ihsan, belas kasihan terhadap pesalah. Dalam kes Najib, sabitan tetap ada namun hukuman dan denda dikurangkan atas dasar ihsan Lembaga Pengampunan. Pengurangan hukuman dan denda ini mengambil kira sumbangan besar Najib kepada negara. Ini termasuklah melonjakkan aset negera hingga tiga trillion, membuat transformasi negara, memperkenalkan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan konsep 1Malaysia serta pelbagai sumbangan positif kepada negara. Kesemua faktor seumpama dipertimbang sebaik-baiknya termasuklah aspek kesihatan, sumbangan positif dan jasa-jasa lain.
Pengalaman Thailand
Di Thailand, bekas perdana Menteri, iaitu Thaksin Shinawatra yang pernah memerintah sejak 2001 hingga 2006 telah disabitkan kesalahan jenayah dengan hukuman penjara 8 tahun. Thaksin juga bertindak lari ke luar negara bagi mengelak daripada menerima hukuman. Namun kemudian beliau balik dan menyerah diri dan memohon keampunan dari Raja Thailand. Thaksin telah diampunkan oleh Raja dan hukuman telah dikurangkan dari 8 tahun ke setahun penjara. Pertimbangan pengampunan terhadap Thaksin ialah sumbangannya terhadap pembangunan negara yang sangat bermanfaat. Selain itu, faktor kesihatan, usianya telah mencecah 74 tahun dan mengalami masalah jantung.
Thaksin sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam 3 kes rasuah serta penyelewengan dan dijatuhi hukuman pada 2006. Antara lain, Thaksin disabitkan bersalah dalam kes memberikan pinjaman sekitar RM500 juta kepada Myanmar pada 2004 dengan kadar bunga rendah, kemudian meminta Myanmar membeli produk perusahaan keluarga Thaksin sendiri. Beliau juga disabitkan bersalah menggunakan anak syarikat sendiri untuk projek satelit pembangunan jaringan telefon nasional, selain mengadakan sistem loteri tanpa persetujuan parlimen.
Pengampunan dan Kes Anwar
Yang di-Pertuan Agong sememangnya mempunyai kuasa memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung kesalahan yang dibicarakan mahkamah tentera serta kesalahan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Seperti kes Najib Razak, kes Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dibicarakan di Kuala Lumpur. Mereka mengadakan mesyuarat selepas menerima rayuan atau petisyen pengampunan dan kuasa untuk mengadakan juga kuasa yang ada Lembaga Pengampunan untuk menentukannya. Segala pendapat ahli Lembaga akan didengari namun kuasa pemutus atau pembuat keputusan adalah kuasa mutlak Agong.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) telah menyatakan kesediaan untuk memberikan pengampunan segera kepada Anwar kerana baginda mendapati terdapat miscarriage of justice. Justeru, Anwar dibebaskan hampir serta-merta dan proses-proses pentadbiran di pihak penjara diselesaikan oleh peguamnya. Pengampunan penuh ini bermakna Anwar bersih daripada mana-mana jenayah atau sabitan. Inilah dikatakan sebagai pengampunan penuh, diampunkan segala sabitan dan selepas itu seolah-olah tidak ada lagi sabitan.
Disebabkan pengampunan penuh ini, maka Anwar dibenarkan bertanding dalam pilihan raya. Hal ini berlainan sekiranya Anwar hanya dibebaskan selepas selesai tempoh hukuman maka tidak layak bertanding dan perlu tunggu tempoh 5 tahun lagi. Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pada 2015 terhadap sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan situasi yang berlaku terhadap pemohon pengampunan ini, ternyata kuasa mutlak terletak pada Lembaga Pengampunan dan mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Apa-apa keputusan Lembaga Pengampunan perlulah dihormati oleh semua pihak walaupun masing-masing kelompok tertentu mempunyai pandangan mereka tersendiri. Hal ini kerana keputusan yang dibuat sudah pasti tidak ada jaminan dapat memuaskan kesemua pihak. Namun, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan pasti mempunyai hikmah kepada negara dan institusi Raja Berperlembagaan.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).