Oleh: Mohidin Haji Malek
JOAN MYERS dalam tulisannya menyatakan bahawa sebelum seseorang berusaha untuk menulis sajak, anda harus merasai keperluan serta dorongan untuk mencipta. Sesebuah sajak lazimnya berupa hasil seni yang bersifat subjektif; seseorang pengkarya perlu merasai emosi tulen yang kuat agar mudah untuk menyampaikan mood pengkarya berkenaan kepada pembaca melalui medium sajak. Namun demikian, pengkarya tidak harus membiarkan emosi menggugat keseimbangan reka cipta sesebuah sajak. Reka cipta perlu memiliki aturan dan keindahan.
Apa-apa yang diperkatakan Myers bukanlah sesuatu yang baharu, malah hal yang sedemikian diperkatakan oleh kebanyakan pengkaji dan khalayak sastera, khususnya yang bertautan dengan genre sajak, akan tetapi dengan cara dan dari sisi pandangan yang berbeza. Namun, hal yang jelas, penulisan sajak berupa suatu seni, seperti juga seni lukis, seni ukir, seni arca dan seumpamanya. Lantaran hal yang sedemikian, dari segi penghasilannya memerlukan daya cipta yang luar daripada kebiasaan. Pada setiap diksi, bait dan rangkap yang dinukilkan ibarat lekuk dan garis dalam seni ukir dan seni lukis. Hal yang tidak harus disisihkan, pengekalan unsur keindahan yang ditampilkan.
Sesebuah sajak tidak seharusnya dihasilkan tanpa inspirasi. Inspirasi yang berupa faktor yang mampu menjadi sumber yang mencetuskan ‘keupayaan’ seseorang menghasilkan sesuatu karya cipta yang bermutu. Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa idea yang ‘tercetus’ tidak seharusnya diluahkan secara ‘paksaan’ kerana hal yang semikian mampu menjejaskan mutu ketulenan hasil karya. Hal ini dikatakan sedemikian kerana idea yang dinukilkan secara ‘paksaan’ akan ‘merencatkan’ sajak berkenaan. Pengkarya akan ‘tersesat’ dalam pencarian dikisi-diksi yang sesuai. Hal yang perlu dijadikan ingatan adalah, penghasilan sajak tidak seperti penulisan rencana atau makalah yang mampu ditingkatkan kemahirannya dengan banyak membaca dan latihan. Seperti yang diperkatakan pada awal makalah, sajak subjektif sifatnya.
Selain daripada apa-apa yang diperkatakan di atas, terdapat unsur-unsur lain yang perlu diberikan perhatian, khususnya elemen bahasa serta pengimejan. Bahasa berupa medium penting yang ‘menghidupkan’ sesebuah karya. Kebijaksanaan seseorang pengkarya ‘bermain’ dengan kata-kata bagi membentuk bait-bait yang indah dan bermakna mampu menyerlahkan mutu sesebuah karya. Diksi atau kata-kata yang indah, namun tidak bersesuaian dan bertepatan dari segi penggunaannya, mampu merencatkan struktur keseluruhan sesebuah sajak. Tidak salah dan tidak akan ‘terhukum’ seandainya seseorang pengkarya menggunakan kata-kata yang diistilahkan sebagai bombastik, namun harus menepati maksud dan berupaya menyampaikan idea yang ingin dilontarkan oleh pengkaryanya. Hal yang sedemikian juga ada pertautannya dengan unsur semiotik atau kajian tentang tanda dan lambang, terutamanya hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan.
Imejan juga berupa unsur penting yang harus dititikberatkan. Hal yang sama telah dibincangkan oleh Dr. Dilah Tuah dalam ulasan sebelumnya. Beliau mengungkapkan bahawa “imejan tidak hanya menciptakan keindahan dalam puisi, tetapi memperkayakan makna dan menyuburkan interpretasi serta membuka pintu kepada pengalaman baharu pembaca”. Apa-apa yang diperkatakan oleh beliau berupa pandangan yang berwibawa. Oleh itu, ada baiknya butiran yang dibicarakan oleh beliau dijadikan panduan serta pedoman dalam penghasilan sesebuah karya.
Bertitik tolak daripada apa-apa yang dibicarakan di atas, penulis tertarik untuk melihat tiga buah sajak yang tersiar pada minggu lalu dalam ruangan ini. Sajak-sajak berkenaan ialah “Hedonis Menangis” karya Farah Athirah, “Memilih Pulang” nukilan Norizan Ramli dan “Cecair Warna” ilham cipta Muhammad Aniq bin Sapini.
Sajak pertama, “Hedonis Menangis” memikat deria fikir penulis untuk melihat dengan lebih teliti pertautan perkataan ‘hedonis’ dan ‘menangis’. Hal ini terbit daripada hakikat bahawa perkataan ‘hedonis’ ditakrifkan sebagai orang yang menganuti hedonisme, iaitu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan dan kesenangan hidup. Persoalan yang bermain dalam minda adalah kenapa seseorang yang suka berseronok dan mengutamakan kesenangan hidup harus ‘menangis’? Dalam konteks ini, terdapat unsur ‘pancingan’ kepada khalayak pembaca (yang peka) untuk menekuni sajak ini. Hal ini merupakan kelebihan Farah Athirah.
Farah ‘bercerita’ tentang gaya hidup hedonis di kota raya yang sememangnya menyajikan pelbagai juadah hiburan, khususnya pada waktu malam. Hal yang sedemikian dinukilkan Farah dalam baris pertama dan kedua, iaitu;
di tengah kota raya yang menjanjikan halwa rasa
dalam mimpi sejuta warna.
Keseronokan yang ‘tersaji’ melalaikan serta menyesatkan sehingga melunturkan jati diri serta pegangan agama. Walaupun demikian, seperti lazim, akhirnya kesedaran menyapa dan sang hedonis kembali ke jalan yang diredhai. Naratif yang dinukilkan tertitip unsur nasihat dan peringatan bahawa dalam memilih jalan hidup, khususnya di kota raya yang sarat dengan pelbagai dugaan, kekuatan peribadi dituntut di samping keutuhan benteng keimanan.
Pernah diperkatakan bahawa dalam pemilihan imejan, pengkarya perlu mengetahui akan sifat atau ciri imejan yang berkenaan agar mudah menitipkan emosi dan roh dalam karya. Dalam konteks ini, penulis andaikan bahawa Farah hanya melihat kata ‘hedonis’ dalam konteks umum. Hedonisme itu sendiri teramat luas cakupannya, misalannya hedonisme psikologi, hedonisme motivasi, hedonisme etika, hedonisme aksiologi dan hedonisme estetik. Dengan memahami setiap bentuk atau ciri imejan, karya yang terhasil lebih bersifat tulen, di samping, seperti yang dinyatakan pada awal makalah, tidak dinukilkan secara ‘paksaan’. Di samping hal yang sedemikian, terkesan diksi-diksi yang menarik seperti “teguk elok kian lekuk”. Akan tetapi, Farah perlu membuat rujukan tentang penggunaan ungkapan “berpohon-pohon pada Yang Esa”bagi memahami perbezaan maksud antara perkataan “memohon” dengan “berpohon-pohon”.
Sajak kedua, “Memilih Pulang”, membicarakan persoalan yang hampir sama dengan sajak “Hedonis Menangis”, iaitu tentang kesedaran dan keinsafan yang akhirnya membawa kepada seseorang untuk kembali ke pangkal jalan. Perbezaannya, Farah memilih hedonis sebagai imejan sedangkan Norizan lebih berbicara tentang pengalaman diri.
Rangkap pertama sajak dimulakan dengan bait “relung luruh”; seperti yang berikut;
Relung luruh
nyataku meragu
menjasadkan keluh
meratapi pedih waktu
Kata ‘relung’ pada baris pertama, rangkap pertama agak kurang tepat digunakan kerana maksud ‘relung’ seperti yang tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat adalah ‘lekuk/jeluk’ dan ‘dalam’. Penulis makalah berandaian bahawa kata yang ingin ditampilkan Norizan adalah “relung hati” yang membawa maksud “lubuk hati”.
Demikian baris ketiga rangkap berkenaan yang dinukilkan sebagai “menjasadkan ragu” yang agak kurang sesuai. Pada baris kedua rangkap akhir sajak ini, Norizan memilih menggunakan perkataan “jumantara”. Tidak salah menggunakan istilah berkenaan untuk menggantikan istilah cakerawala namun apabila digabungkan dengan kata menadah,timbul persoalan dari segi kepersisan interpretasinya. Hal yang sedemikian ini berbeza dengan maksud yang dibawa oleh kalimat, “kecil tapak tangan/ nyiru hamba tadahkan”. Rangkap-rangkap seterusnya agak baik, namun masih mampu dilakukan pemurnian.
Jalanku berbinar
mendung mengisi latar
jasad terdampar
tak mampu berfikir benar.
Merayu ketenangan
tidak jumpa bayang
tersesat di kejauhan
terfikir bagaimana akhiran.
Aku di fasa lelah
kalbuku meruntun
rindu kekasih lara.
Sajak terakhir yang dibicarakan ialah “Cecair Warna” ilham cipta Muhammad Aniq bin Sapini. Seperti sajak pertama, sajak ini memiliki tarikan dalam konteks melahirkan keinginan pembaca untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan oleh Muhammad Aniq dengan istilah “cecair warna”. Penulis makalah perlu membaca berulang bagi mengelak daripada salah tafsiran mahupun interpretasi. Sajak dimulakan dengan rangkap seperti yang berikut;
Langkahku tersekat di senja
hanya berteman cecair warna
apakah aku harus mewarnai siang
atau menconteng gelapnya malam?
Baris pertama dan kedua sajak ini tidak memberikan gambaran akan apa-apa yang ingin Muhammad sampaikan.
Hanya pada baris ketiga dan keempat terungkap tirai makna yang ingin disampaikan. Walaupun demikian, imejan yang ditampilkan oleh Muhammad masih samar sehingga rangkap ketiga yang dinukilkan sedemikian;
Indahnya mampu mewarnai bianglala
dari gaulan menjadi gambaran
dari gambaran menjadi taulan
hebatnya sang cecair warna.
Imejan berkenaan tidak lain daripada cat air atau water color. Dalam hal yang sedemikian, disarankan agar Muhammad Aniq mengguna pakai istilah yang telah diterima umum. Bukanlah satu kesalahan, akan tetapi lebih persis seandainya istilah yang diguna pakai berbeza dengan istilah yang telah mantap diterima. Memang betul bahawa sajak itu bersifat subjektif, akan tetapi harus akur pada ketetapan tertentu yang melibatkan hukum bahasa.
Sajak ini agak kabur sifatnya. Apakah Muhammad Aniq ingin mengubah corak kehidupan dirinya sendiri atau struktur sosial masyarakat kini yang dilihat semakin parah? Hal ini dikatakan sedemikian kerana pada rangkap pertama, digambarkan bahawa yang membawa cecair warna ialah Muhammad Aniq. Namun pada rangkap akhir, terkesan seakan-akan situasi berbeza apabila dinukilkan rangkap seperti yang berikut;
Warnailah segera sebelum mentari terbenam
hargailah cahaya sebelum gelapnya malam
tak semua insan ingin mewarna
kerna masih bertapak berasing meja.
Oleh hal yang sedemikian, sajak ini perlu melalui proses pemurnian agar lebih baik. Sajak ini mudah dan bersahaja.
Secara keseluruhannya, ketiga-tiga buah sajak berkenaan baik, akan tetapi masih memerlukan proses pemurnian serta penambahbaikan bagi memantapkan ketiga-tiganya. Seperti yang dinyatakan dahulu, elemen dalam sesebuah sajak perlu seimbang, sama ada dari segi binaan, pemilihan diksi, emosi, falsafah, pemikiran serta rohnya. Nasihat kepada ketiga-tiga penyajak, sebelum menulis sesebuah sajak, sediakan dahulu papan ceritanya (story board) agar tidak tersasar daripada landasan asal.
Bacalah sebanyak mungkin hasil karya penulis-penulis tersohor, khususnya penyajak dari Bumi Kenyalang dan lihat bagaimana mereka mempersembahkan sesebuah karya yang mampu menggugah nurani pembaca. Namun, jangan sesekali memplagiat hasil karya mereka! Seperti kebiasaan, nasihat yang paling penting, jadikan kamus sebagai sahabat setia apabila berkarya.
Tahniah dan syabas kepada ketiga-tiga penyajak muda, Farah Athirah, Norizan Ramli dan Muhammad Aniq bin Sapini. Teruskan usaha anda untuk menghasilkan lebih banyak karya kerana salah satu daripadanya mungkin akan menjadi titik tolak kejayaan anda pada masa hadapan.
Salam bahasa, sastera dan budaya. Bahasa nadi bangsa.