Kualiti udara tidak sihat di New York menjelang final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ATLANTA, Georgia: Kerajaan New York mengeluarkan amaran pada Rabu mengenai “keadaan udara tidak sihat” di seluruh negeri itu menjelang perlawanan akhir Piala Dunia antara Sepanyol dan Argentina pada Ahad, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Perlawanan akan berlangsung di East Rutherford, terletak di luar New York City.

Keadaan itu disebabkan oleh asap daripada kebakaran hutan Kanada dan suhu tinggi di rantau ini.

Dalam satu kenyataan, kerajaan meminta rakyat untuk “mengelak menghabiskan masa di luar rumah jika boleh,” manakala “kumpulan sensitif harus mengambil langkah berhati-hati.

Ia menambah kerajaan menyediakan lebih 100,000 topeng pelindung kepada daerah yang memerlukan untuk menangani kesan kualiti udara.

“Dengan asap daripada kebakaran hutan Kanada sekali lagi menjejaskan kualiti udara di seluruh negeri kami, kami menggesa warga New York untuk mengambil tahu tentang kualiti udara dan berwaspada minggu ini,” kata Gabenor Kathy Hochul.

Tidak jelas sama ada situasi itu boleh memberikan kesan kepada perlawanan akhir Piala Dunia.

Pihak berkuasa juga telah mengeluarkan amaran “kod merah” kerana gelombang haba dan suhu boleh meningkat sehingga 40 darjah Celsius.- Bernama-dpa