KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak semakin merosot apabila beberapa kawasan mencatat peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 4.00 petang ini berbanding tengah hari tadi.
Berdasarkan laporan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) setakat 4.00 petang, sebanyak 10 kawasan di Sarawak mencatat bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Antaranya, Serian (185), Tebedu (171), Samarahan (166), Kuching (164), Mukah (157), Sibu (156), Sarikei (152), Bintulu (152), Samalaju (152) dan Sri Aman (148).
Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 185, meningkat daripada 182 pada 12.00 tengah hari, diikuti Tebedu yang meningkat daripada 168 kepada 171.
Samarahan turut mencatat peningkatan daripada 164 kepada 166, manakala Kuching meningkat daripada 163 kepada 164. Bacaan Samalaju pula meningkat daripada 149 kepada 152.
Bagaimanapun, beberapa kawasan menunjukkan penurunan bacaan berbanding tengah hari tadi, termasuk Sri Aman daripada 152 kepada 148, Sibu daripada 157 kepada 156 dan Sarikei kekal pada 152, manakala Mukah dan Bintulu masing-masing kekal pada 157 dan 152.
Sementara itu, lapan kawasan mencatat bacaan pada tahap sederhana, iaitu Kapit (70), Miri (92), ILP Miri (93), Limbang (79), Lundu (99), Lubok Antu (94), Lawas (67) dan Bario (70).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, yang boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
Bacaan IPU berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.
Orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan di Sarawak.
Oleh Masrin Affirah




