PUTRAJAYA: Permohonan baharu Lesen Pelanggaran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) tidak lagi dipertimbangkan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan penguatkuasaan penuh peraturan itu bermula 1 Januari 2027.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata keputusan itu bertujuan memastikan komitmen berterusan kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.
“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS sentiasa memberikan komitmen berterusan dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.
“Saya telah mengarahkan agar tiada lagi permohonan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PUB 2014 yang merupakan peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikuatkuasakan sejak 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978, dengan menetapkan semua industri yang tertakluk supaya mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai batas dan standard teknikal ditetapkan.
Kerajaan sebelum ini memberikan tempoh peralihan selama lima tahun hingga 5 Jun 2019, diikuti beberapa siri pelanjutan tambahan bersyarat susulan permohonan pelbagai sektor industri yang masih gagal mematuhi PUB 2014.
Arthur berkata tempoh pelanjutan tambahan itu telah tamat sepenuhnya pada Ogos 2026.
Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 38 premis membabitkan sektor stesen jana kuasa elektrik, petrokimia dan kilang kelapa sawit masih belum mematuhi PUB 2014 dan telah dipertimbangkan untuk Lesen Pelanggaran.
“Kelonggaran sementara ini telah dipertimbangkan berdasarkan penilaian ketat oleh JAS ke atas pelan tindakan terperinci premis industri berkaitan ke arah pematuhan penuh PUB 2014,” katanya.
Beliau berkata selepas tempoh itu, JAS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang masih gagal mematuhi peraturan berkenaan, manakala kerajaan juga sedang mempertimbangkan pengenaan Fi Tambahan Lesen Pencemar Udara (FTLPU).
Katanya, FTLPU akan dikenakan terhadap premis industri yang masih gagal mencapai tahap pematuhan ditetapkan di bawah PUB 2014.
“Kementerian menegaskan bahawa Lesen Pelanggaran tidak boleh dijadikan sebagai kelonggaran berterusan oleh pihak industri,” katanya sambil menggesa semua pengusaha industri segera mengambil langkah proaktif menaik taraf Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) masing-masing bagi mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin kualiti udara yang selamat untuk generasi kini dan akan datang.- Bernama




