MIRI: Kualiti udara di Miri berada pada tahap tidak sihat apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan pada 162 setakat 6.00 petang hari ini.
Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi pemantauan IPU Sarawak bacaan di Stesen Miri menunjukkan indeks 162, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat.
Bacaan berkenaan bermakna keadaan pencemaran udara boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.
Selain itu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri turut merekodkan bacaan API 159, yang juga berada dalam kategori tidak sihat.
Orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengurangkan aktiviti fizikal atau aktiviti luar sekiranya keadaan udara bertambah buruk.
Data berkenaan dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar paling dominan.
Oleh Liong Chai Ling




