KUCHING: Kualiti udara di sebahagian besar kawasan Sarawak masih berada pada tahap tidak sihat dengan 14 daripada 18 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU melebihi 100 setakat 12.00 tengah hari ini.
Bacaan tertinggi direkodkan di IPD Serian iaitu 192, diikuti Kuching (185), Lundu (179), Lubok Antu (179) dan Samarahan (177).
Sarikei pula mencatat bacaan 174, Sri Aman (173), Sibu (163), Mukah (157), Bintulu (157) dan Samalaju (156).
Miri merekodkan bacaan 151, manakala Tebedu mencatat 153 dan Lawas 109, kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.

Sementara itu, empat stesen masing-masing merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Kapit (96), ILP Miri (92), Limbang (80) dan Bario (60).
Secara keseluruhan, bacaan berkenaan menunjukkan kualiti udara di kebanyakan kawasan Sarawak masih kurang baik dengan sebahagian stesen merekodkan bacaan hampir mencecah paras 200.
IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi pada 192, hanya lapan mata di bawah paras 200 yang menandakan tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai terutama golongan berisiko dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti luar sekiranya keadaan kualiti udara terus merosot.





