Kualiti projek pembangunan tidak boleh dikompromi – Dr Richard Rapu

Facebook
WhatsApp
DATO Dr Richard Rapu bersama agensi teknikal meneliti pelaksanaan projek baik pulih JPD di Rumah Panjang Tebalau, Ulu Layar. Foto Pusat Khidmat Ahli Parlimen Betong

BETONG: Kualiti pelaksanaan projek pembangunan di peringkat akar umbi perlu menjadi keutamaan bagi memastikan setiap kemudahan yang dibina memenuhi piawaian ditetapkan serta memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, berkata kualiti projek tidak boleh dikompromi semata-mata bagi mengejar tempoh penyiapan, sebaliknya setiap kerja perlu dilaksanakan mengikut skop, spesifikasi dan standard yang ditetapkan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa aspek kerja yang masih belum mencapai tahap kualiti memuaskan dan memerlukan tindakan penambahbaikan segera oleh pihak berkaitan.

“Setiap kekurangan perlu diperbaiki terlebih dahulu sebelum dokumen CPC diperakukan bagi memastikan projek yang diserahkan benar-benar selamat, berkualiti dan memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

PEMERIKSAAN tapak projek baik pulih Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Rumah Panjang Tebalau, Ulu Layar dilakukan bagi memastikan kerja memenuhi spesifikasi ditetapkan sebelum Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) diperakukan. Foto Pusat Khidmat Ahli Parlimen Betong

Beliau berkata demikian selepas mengetuai pemeriksaan tapak projek baik pulih Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Rumah Panjang Tebalau, Ulu Layar, bagi tujuan pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), hari ini.

Susulan pemeriksaan itu, agensi teknikal diarahkan mengambil tindakan susulan secara tegas bagi memastikan segala kekurangan yang dikenal pasti diselesaikan sebelum proses penyerahan projek dimuktamadkan.

Dr Richard menegaskan bahawa setiap kontraktor dan agensi pelaksana bertanggungjawab memastikan kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi bagi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna.

Projek berkenaan dilaksanakan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) sebagai agensi pelaksana.

Beliau berkata, pemeriksaan terperinci sebelum pengeluaran CPC merupakan mekanisme kawalan kualiti penting bagi mengelakkan masalah berbangkit selepas sesuatu projek diserahkan kepada masyarakat.

JPD di Rumah Panjang Tebalau turut dianggap penting kerana menjadi laluan utama penduduk dalam menjalankan aktiviti harian, termasuk pergerakan pelajar ke sekolah serta urusan sosial dan ekonomi.

“Pemantauan akan diteruskan sehingga projek ini benar-benar memenuhi semua kriteria yang ditetapkan sebelum diserahkan sepenuhnya kepada penduduk,” katanya.

Langkah tersebut memperlihatkan keutamaan terhadap kualiti dan keberkesanan setiap projek pembangunan rakyat agar kemudahan yang disediakan mampu bertahan serta memberi manfaat dalam jangka panjang.

Oleh Adi Safarman