
KOTA BHARU: Kekalahan tipis 0-1 kepada Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, mengecewakan Penolong Ketua Jurulatih Kelantan Real Warriors FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Akmal Rizal berkata kekecewaan itu berpunca daripada kegagalan barisan penyerang menterjemahkan peluang meskipun pasukannya menguasai perlawanan serta mencipta beberapa peluang jaringan.
Beliau berkata keputusan berkenaan amat mengecewakan memandangkan pasukan beraksi di laman sendiri dan sedang berusaha mencari rentak kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super musim ini.
“Kita menguasai permainan, mengikut perancangan dan lebih banyak menyerang, namun gagal menjaringkan gol walaupun peluang ada,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Menurutnya, Kuching City FC pula bijak memanfaatkan peluang yang diperoleh apabila menjaringkan gol pada separuh masa pertama, selain mempamerkan disiplin tinggi di benteng pertahanan untuk mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Kuching City FC memperoleh gol tunggal menerusi Danial Amer pada minit ke-19 hasil rembatan dalam kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Kelantan Real Warriors Damyanov Valeriy.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan Real Warriors FC kini berada pada kedudukan ke-10 liga dengan mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan, dua keputusan seri dan lapan kekalahan.
Akmal Rizal mengakui kegagalan menjaringkan gol turut dipengaruhi kualiti serta kekuatan fizikal pemain pertahanan import pasukan lawan.
“Penyerang kami sukar berdepan pertahanan lawan dari segi fizikal dan itu menyukarkan mereka untuk menjaringkan gol,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang menilai keperluan untuk menambah kekuatan pada bahagian serangan, termasuk kemungkinan membawa masuk pemain import baharu, tertakluk kepada keputusan pengurusan kelab.
“Bahagian serangan kini berada dalam keadaan kritikal dan perlu diperbaiki bagi menghadapi baki pusingan kedua liga. Namun, sebagai jurulatih, saya menerima apa jua keputusan yang dibuat pengurusan,” katanya.- Bernama