
CAPE CANAVERAL, Amerika Syarikat: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dijadualkan melancarkan empat angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini bagi menggantikan kru yang dipindahkan pulang lebih awal berikutan masalah perubatan.
Agensi angkasa Amerika Syarikat itu menyasarkan 13 Februari untuk pelancaran misi Crew-12 dengan menaiki roket SpaceX Falcon 9, yang dijadualkan berlepas pada 5.15 pagi waktu tempatan (1015 GMT).
Pelancaran sebelum subuh itu ditangguhkan selama dua hari susulan ramalan cuaca buruk di sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat, termasuk angin kencang yang berpotensi merumitkan sebarang manuver kecemasan.
Jika pelancaran pagi tadi berjalan seperti dirancang, para angkasawan dijangka tiba di ISS sekitar 3.15 petang esok.

Crew-12 dianggotai rakyat Amerika Syarikat, Jessica Meir dan Jack Hathaway, bersama angkasawan Perancis, Sophie Adenot, serta kosmonaut Rusia, Andrey Fedyaev.
Mereka telah menjalani kuarantin di Pusat Angkasa Kennedy NASA di Florida sementara menunggu pelancaran.
Kru berkenaan akan menggantikan Crew-11 yang kembali ke Bumi pada Januari, sebulan lebih awal daripada jadual asal dalam pemindahan perubatan pertama dalam sejarah stesen angkasa itu.
ISS, makmal saintifik yang mengorbit pada ketinggian 250 batu (400 kilometer) dari permukaan Bumi, kini hanya dikendalikan oleh kru minimum seramai tiga orang.
NASA enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai isu kesihatan yang menyebabkan misi terdahulu dipendekkan.
Apabila tiba kelak, para angkasawan ini akan menjadi antara kumpulan terakhir yang menetap di stesen angkasa bersaiz padang bola itu.

Berpenghuni secara berterusan sejak suku abad lalu, ISS yang semakin berusia dijadual ditamatkan operasinya dengan ditolak keluar dari orbit sebelum menjunam ke lokasi terpencil di Lautan Pasifik pada 2030.
Mikrograviti dan tubuh manusia
ISS, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol hubungan yang semakin erat pasca Perang Dingin, kekal sebagai salah satu bidang kerjasama berterusan antara Barat dan Rusia sejak Moscow melancarkan serangan ke atas Ukraine pada 2022.
Bagaimanapun, stesen angkasa itu tidak sepenuhnya terlepas daripada ketegangan di Bumi.
Pada November lalu, kosmonaut Rusia, Oleg Artemyev — yang sebelum ini dirancang sebagai anggota Crew-12 — secara tiba-tiba digugurkan daripada misi.
Laporan media bebas di Rusia mendakwa beliau mengambil gambar serta menghantar maklumat sulit menggunakan telefon bimbitnya.
Agensi angkasa Rusia, Roscosmos, hanya memaklumkan bahawa beliau telah dipindahkan ke tugasan lain.
Penggantinya, Fedyaev, pernah berada di ISS sebagai sebahagian daripada Crew-6 pada 2023.
Sepanjang lapan bulan berada di stesen itu, empat angkasawan berkenaan akan menjalankan pelbagai eksperimen, termasuk penyelidikan mengenai kesan mikrograviti terhadap tubuh manusia.
Meir, yang sebelum ini bertugas sebagai ahli biologi marin mengkaji haiwan di persekitaran ekstrem, akan berkhidmat sebagai komander kru.
Adenot pula akan menjadi wanita Perancis kedua ke angkasa lepas, menjejaki langkah Claudie Haignere yang pernah berada di stesen angkasa Mir.
Ketika Adenot menyaksikan pelancaran misi Haignere, beliau BAHARU berusia 14 tahun. – AFP