

SEORANG kru kapal warganegara Myanmar dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Krian berhampiran Wharf Batu Pekan Saratok dalam satu insiden jatuh kapal yang berlaku sekitar 9.30 pagi tadi. Foto PGO JBPM Sarawak
SARATOK: Seorang kru kapal warganegara Myanmar dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Krian berhampiran Wharf Batu Pekan Saratok dalam satu insiden jatuh kapal yang berlaku sekitar 9.30 pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada 10.43 pagi untuk bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sejurus menerima panggilan, tujuh anggota penyelamat diketuai oleh Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Yusop Jenamin digerakkan ke lokasi kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20 tahun, dilaporkan merupakan kru kapal Moi Soon 2 yang ketika kejadian sedang berlabuh di lokasi tersebut. Beliau dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul ke permukaan.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, anggota segera mendapatkan maklumat mangsa dan kronologi kejadian daripada kru kapal bagi membantu operasi pencarian,” menurut kenyataan PGO JBPM Sarawak, hari ini.
Mangsa dilaporkan hanya memakai seluar panjang berwarna coklat dan kasut getah pendek, serta tidak berbaju ketika kejadian. Kru kapal lain telah cuba melakukan pencarian awal, namun usaha tersebut gagal menemui mangsa.
Satu laporan polis telah dibuat di IPD Saratok dan operasi mencari sedang giat dijalankan di sekitar lokasi kejadian.
JBPM memaklumkan bahawa operasi pencarian akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengesan keberadaan mangsa secepat mungkin.
Oleh Adi Safarman