Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kru darat penerbangan, wira tidak didendang
  • KOLUMNIS

Kru darat penerbangan, wira tidak didendang

Utusan Sarawak 11 hours ago

BAGI kebanyakan penumpang, rutin perjalanan udara adalah seawal mendaftarkan bagasi masuk hingga menunggu bagasi berkenaan tiba di atas tali sawat.

Namun, seringkali tanpa menyedari di sebalik rutin itu, ada sekumpulan petugas yang bertanggungjawab memastikan pengalaman mereka ini lancar, sekali pun petugas ini kurang diperhatikan atau tidak semegah kru penerbangan yang menjadi simbol dunia penerbangan.

Tugas yang dilakukan di belakang tabir ini meliputi banyak aspek yang turut mempengaruhi keselamatan, ketepatan masa serta keselesaan penumpang di sepanjang pengembaraan di setiap destinasi lapangan terbang.

Rantaian kerja yang diuruskan ini dikenali sebagai pengendalian darat atau ground handling. Ia bertujuan menyediakan perkhidmatan bagi memudahkan sesuatu penerbangan atau pergerakan pesawat di darat.

Ia merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan, pengisian bahan api, penyediaan makanan, pembersihan, penundaan pesawat serta pemuatan dan pemunggahan kargo.

Di terminal lapangan terbang, kru darat ini berperanan melancarkan urusan penumpang seperti pengurusan tiket penerbangan.

Kru darat lapangan terbang menunjuk arah kapal terbang ketika berlepas dan mendarat.

Walaupun kebanyakan penumpang kini dapat membeli tiket secara dalam talian, masih ada penumpang memerlukan perkhidmatan ini untuk membeli tiket pada saat akhir mungkin disebabkan kecemasan ataupun terpaksa menukar destinasi atau waktu penerbangan.

Meskipun penggunaan kios elektronik daftar masuk bagasi layan diri semakin meluas, kru tetap bersedia membantu mengesahkan penanda bagasi dipasang dengan betul termasuk memastikan bagasi kabin mematuhi peraturan saiz, berat dan kandungan yang ditetapkan.

Selain itu, bagi bagasi yang bersaiz luar biasa atau sangat berat, kru akan memprosesnya di kemudahan khas yang berasingan dari tempat sedia ada.

Di ruang penyisihan bagasi, kru akan meletakkan bagasi di troli sebelum dimuatkan ke pesawat yang ditetapkan.

Bagi barangan tertentu, ia akan dimasukkan ke dalam Unit Load Devices (ULD) agar proses pemuatan menjadi lebih teratur, selamat dan efisien, di samping memudahkan pengendalian ketika dipindahkan ke pesawat serta mengurangkan risiko kerosakan atau salah hantar.

Selain tugas rutin mengurus aliran penumpang supaya berada dalam keadaan terkawal, kru juga perlu membantu penumpang yang terlepas sambungan penerbangan, menyediakan baucar makanan atau penginapan atau mengatur pengangkutan alternatif sekiranya berlaku kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Kru juga turut diperlukan dalam keadaan tertentu yang melibatkan keperluan khas seperti penyediaan kerusi roda atau pengangkutan lain ke pintu berlepas bagi penumpang kurang upaya serta pengurusan, pemantauan dan keselamatan kanak-kanak dari daftar masuk hingga menaiki pesawat dan dari pesawat hingga diserahkan kepada ibu bapa atau individu yang diberi kuasa.

Kru darat lapangan terbang memasukkan kargo ke dalam pesawat.

Semasa mengurus proses masuk penumpang ke pesawat, kru akan membuat pengumuman menaiki pesawat sekali gus menjalankan pemeriksaan akhir penumpang serta pengesahan dokumen dan menyerahkan senarai penumpang serta dokumen kastam kepada kru penerbangan.

Selain urusan di terminal, kru pengendalian darat juga bertugas di kawasan apron iaitu tempat pesawat terbang parkir sementara untuk proses keluar masuk penumpang sebelum berlepas semula.

Kru di kawasan ini mengendalikan pelbagai operasi penting yang memastikan setiap pesawat tiba, disediakan sepenuhnya dan berlepas dengan selamat serta mengikut jadual.

Tugas mereka merangkumi membimbing pesawat ke tempat letak melalui pandu arah pesawat (marshalling), memasang penyekat roda, menyambungkan perkhidmatan darat seperti bekalan elektrik dan penyaman udara serta mengurus bagasi dan kargo menggunakan peralatan khas.

Mereka juga memastikan pesawat dibersihkan, diisi bahan api, dilengkapkan dengan katering baharu dan menerima dokumen operasi yang diperlukan oleh kru penerbangan.

Setelah urusan ini selesai, mereka juga akan mengendalikan tolak keluar pesawat bagi memulakan pelepasan.

Dalam keadaan tertentu, kru juga perlu menunda pesawat dan menjalankan proses nyah ais pada permukaan sayap atau enjin, selain menggunakan udara bertekanan tinggi apabila Unit Kuasa Sokongan (APU) tidak berfungsi.

Kru yang bekerja di apron ini bukan hanya berdepan dengan cuaca panas dan hujan, mereka juga berada dalam persekitaran kerja yang berisiko tinggi.

Hal ini kerana apron ialah kawasan terbuka yang sentiasa sibuk dengan pergerakan pesawat, kenderaan sokongan darat, jentera berat dan manusia yang bekerja dalam jarak yang sangat dekat antara satu sama lain.

Bunyi enjin pesawat yang kuat, haba daripada ekzos, permukaan licin ketika hujan serta jarak penglihatan terhad pada waktu malam menjadikan setiap tugasan menuntut tahap kepekaan dan disiplin keselamatan yang sangat tinggi.

Risiko lain yang dihadapi oleh kru semasa di apron antaranya bahaya disedut masuk ke dalam enjin pesawat atau terhantuk oleh hembusan jet ketika enjin dihidupkan.

Tidak hanya itu, bahaya yang boleh mendatangkan kecederaan kepada kru malah lebih teruk merosakkan pesawat boleh juga disebabkan oleh bahan asing (FOD) yang kelihatan kecil seperti skru, batu atau serpihan logam.

Selain itu, pergerakan kenderaan tunda, lori katering, trak bahan api dan tali sawat bagasi dalam ruang yang sempit meningkatkan risiko pelanggaran jika komunikasi dan pematuhan prosedur tidak dilakukan dengan betul.

Pendedahan berpanjangan kepada bunyi bising juga boleh menjejaskan pendengaran, manakala kerja fizikal berulang seperti mengangkat bagasi berat berpotensi menyebabkan kecederaan otot dan tulang belakang.

Di Malaysia, keselamatan dan operasi kru pengendalian darat berada di bawah pengawasan ketat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Peraturan Penerbangan Awam 2016 menetapkan bahawa setiap aktiviti di kawasan pergerakan pesawat perlu mematuhi prosedur keselamatan yang diluluskan, termasuk latihan kompetensi, penggunaan peralatan perlindungan diri dan pematuhan kepada Manual Operasi Lapangan Terbang.

Pengendali lapangan terbang dan syarikat pengendalian darat turut bertanggungjawab memastikan semua operasi selaras dengan piawaian antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), terutamanya dalam aspek keselamatan apron, pengurusan risiko dan pembentukan budaya keselamatan yang kukuh.

Setiap kru yang bertugas di apron diwajibkan mengikuti latihan keselamatan secara berkala. Mereka perlu memahami isyarat tangan standard, prosedur kecemasan dan zon larangan ketika pesawat bergerak atau enjin sedang beroperasi.

Pemakaian vest pantul cahaya, pelindung pendengaran, kasut keselamatan dan penggunaan peralatan yang diperakui bukan sekadar memenuhi syarat, tetapi menjadi benteng utama yang membezakan antara keselamatan dan tragedi.

Prinsip ‘tiada jalan pintas’ sentiasa ditekankan kerana satu kecuaian kecil boleh membawa kesan besar, bukan sahaja kepada kru, tetapi juga kepada ratusan penumpang yang bergantung kepada mereka.

Dalam kesibukan penumpang mengejar masa dan menyusun perjalanan, wajah‑wajah kru darat ini jarang menjadi perhatian. Mereka tidak menerima tepukan ketika pesawat berlepas dengan selamat dan nama mereka tidak diumumkan di kabin atau terpampang pada badan pesawat.

Namun, setiap penerbangan yang tiba tepat pada waktunya, setiap bagasi yang sampai ke destinasi tanpa tersalah letak dan setiap pesawat yang berlepas tanpa insiden adalah hasil kerja keras dan dedikasi mereka. Mereka inilah wira tidak didendang dalam industri penerbangan.

Di bawah terik matahari dan hujan, siang dan malam, mereka memastikan rantaian operasi di darat berjalan lancar supaya kru penerbangan dapat menjalankan tugas di udara dengan selamat.

Penghargaan kepada mereka mungkin tidak hadir dalam bentuk anugerah atau sorakan, tetapi kesedaran dan rasa hormat daripada para pengguna sudah memadai.

Setiap kali kita melangkah masuk ke dalam pesawat, wajar kita ingat bahawa keselamatan dan keselesaan perjalanan itu bermula di darat, di tangan mereka yang bekerja tanpa mengharap perhatian.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Adakan ‘Op Remove’ di setiap daerah; buka kilang produk buaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.