Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • KRU dan Judika bakal gegar malam sambutan Tahun Baharu 2026
  • TEMPATAN

KRU dan Judika bakal gegar malam sambutan Tahun Baharu 2026

Utusan Sarawak 4 hours ago
KUMPULAN KRU dan Judika bakal beraksi pada malam sambutan Tahun Baharu 2026.

PETRA JAYA: Tebingan Kuching dipilih sebagai lokasi utama sambutan Tahun Baharu 2026 di Sarawak, dijangka menarik ribuan pengunjung dengan kemudahan pelancongan, penginapan, serta kapasiti ruang yang luas untuk acara berskala besar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hotel-hotel di kawasan itu dijangka penuh pada malam perayaan, malah ruang penginapan kini sudah sukar diperoleh.

“Sambutan Tahun Baharu 2026 bertemakan Fiesta ini akan bermula 8.00 malam dengan segmen prapersembahan yang menampilkan band tempatan, tarian etnik Sarawak dan tarian kreatif.

“Penonton juga akan dihiburkan oleh penyanyi popular tempatan termasuk Gabriel Mawat, Ng Chien Chien, Meera Zada, Carrie Geres, Razali Sa’at dan Jolly Jengan,” katanya pada sidang media Sambutan Tahun Baharu 2026 di sini hari ini.

Acara dijadualkan bermula 8.00 malam pada 31 Disember 2025 dan berlanjutan sehingga sekitar 2.00 pagi, dibahagikan kepada tiga segmen utama: prapersembahan, segmen rasmi, dan pasca persembahan, dengan pengisian yang padat dan menghiburkan.

“Segmen rasmi selepas 10.00 malam menampilkan barisan artis Malaysia seperti KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali dan Naqiu, sebelum pertunjukan bunga api muzikal tepat 12.00 tengah malam menandakan ketibaan Tahun Baharu 2026,” ujarnya.

Sebagai kemuncak pasca persembahan, konsert eksklusif Judika dari Indonesia akan menyemarakkan Tebingan Kuching sehingga lewat malam. Malam itu juga menyaksikan pelancaran istimewa Gateway to Sarawak Drone Relay yang baru-baru ini diiktiraf Rekod Dunia Guinness (GWR) bagi Perjalanan GPS Terpanjang melalui Rangkaian Dron.

Beliau menasihatkan orang ramai berkongsi kereta bagi mengurangkan kesesakan trafik, sementara pelbagai lokasi parkir disediakan termasuk Medan Pelita, Plaza Aurora, Plaza Merdeka, Kompleks Islam Sarawak dan Muzium Budaya Borneo.

Abdul Karim juga menegaskan bahawa perhimpunan ini bukan sahaja meraikan pencapaian Sarawak pada 2025, tetapi juga memberi peluang kepada rakyat menikmati hiburan bermutu sambil menyambut Tahun Baharu 2026.

Kehadiran dijangka melebihi 20,000 pengunjung, bergantung kepada keadaan cuaca, dengan seluruh kawasan Tebingan Kuching hingga sekitar hotel terkemuka di sini dibuka termasuk reruai makanan dan usahawan tempatan.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Eksklusif: Cucur cempedak viral tarik ramai penggemar, 300kg buah habis sehari
Next: Semai Inklusif perkasa komuniti OKU melalui pertanian berdaya tahan di Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.