
LIMBANG: Badan bukan kerajaan seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) melalui penganjuran program kemasyarakatan, sosial dan sukan yang melibatkan penduduk setempat mampu memperkukuh perpaduan dalam komuniti.
Program Karnival KRT Zon Pandaruan Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun, yang berlangsung baru-baru ini, menjadi platform penting dalam mengeratkan perpaduan, kerjasama dan semangat muhibah membabitkan sembilan KRT di Zon Pandaruan.
Pengerusi Program yang juga Pengerusi KRT Tuna/Gumaya/Benuas, Adrus Tahir, berkata penganjuran program sedemikian mencerminkan semangat kekitaan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat.
“Program ini merupakan platform untuk menyampaikan mesej perpaduan kenegaraan dan perkhidmatan berteraskan konsep Malaysia MADANI kepada komuniti setempat,” katanya kepada media.
Program berkenaan turut menekankan peranan Rukun Tetangga (RT) sebagai institusi penting dalam komuniti.
Menurutnya, sepanjang 50 tahun penubuhan RT, pelbagai transformasi telah dilakukan bagi memperkasa peranan RT sebagai peneraju keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat agar kekal relevan.
Karnival itu disertai kira-kira 400 peserta, dan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk sukaneka, tarik tali, sukaneka warga emas dan dewasa, pertandingan bola sepak, pertandingan memasak serta pertandingan mewarna Tahap Satu dan Dua.
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah wakil Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat, dan Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang, Suriani Yussop.
Oleh Adeng Edrus