
KUCHING: Pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dilihat sebagai kunci kepada pembangunan komuniti berdaya tahan yang mampu memacu keharmonian dan kemajuan Sarawak.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Dato’ Sri Aaron Ago Dagang, sebanyak 39 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah dipilih sebagai KRT Progresif di Sarawak pada tahun ini.
“Apabila komuniti berganding bahu menganjurkan sambutan seperti ini, kita bukan sahaja memperkukuh hubungan sesama penduduk, malah turut membuka ruang untuk saling mengenali dan memahami adat serta budaya antara satu sama lain.
“Usaha memperkukuh perpaduan nasional bermula daripada akar umbi iaitu kejiranan sebelum berkembang ke peringkat negeri dan seterusnya ke seluruh negara.
“Kepentingan KRT bukan sahaja terletak pada program-program yang dijalankan, tetapi juga pada semangat yang dihidupkan iaitu semangat kekitaan, semangat saling percaya dan semangat bersatu dalam kepelbagaian,” katanya semasa berucap di program sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Sarawak 2025, hari ini.
Beliau turut menyeru agar generasi muda terlibat aktif dalam aktiviti KRT demi memastikan semangat perpaduan terus mekar dalam komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM302,775 untuk kerja-kerja penambahbaikan lima Tabika Perpaduan di Sarawak.
“Tabika yang terlibat ialah Tabika Perpaduan RPR Permyjaya Miri, Ong Tiang Swee Kuching, Sungai Plan Bintulu, Siol Kandis Kuching dan Kampung Pahlawan Limbang.
“Kini terdapat sebanyak 1,092 KRT di Sarawak daripada keseluruhan 8,554 KRT di seluruh negara,” ujarnya.
Program sambutan Hari Raya Aidilfitri Negeri Sarawak 2025 tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak.
Majlis turut dihadiri jentera perpaduan peringkat komuniti termasuk anggota Skim Rondaan Sukarela, Mediator Komuniti, warga Taska dan Tabika Perpaduan serta NGO.
Oleh Masrin Affirah