![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Screenshot-2025-02-13-121254.png)
PERHIMPUNAN Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bermula esok hingga Ahad, dengan tumpuan kepada pemilihan yang diadakan setiap tiga tahun sekali.
Sudah semestinya, perhatian terarah kepada perebutan empat jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera.
Tiga jawatan Naib Presiden bagi sayap Pesaka, dimenangi tanpa tanding.
Ada dua pencabar baharu tampil kali ini iaitu Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang dan ADUN Satok, Dato Ibrahim Baki.
Empat penyandang pula akan mempertahankan jawatan itu – Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri adalah Julaihi (Utiliti dan Telekomunikasi) dan Abdul Karim (Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan/Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan).
Datuk Dr Abdul Rahman adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, manakala Dr Annuar, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat.
Ibrahim Baki pula adalah juga Ketua Whip bagi Gabungan Parti Gabungan Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Semua ada kelebihan masing-masing.
Terpulang kepada perwakilan dari 82 cawangan termasuk badan induk untuk membuat pilihan tepat.
Tidak pasti apakah kriteria dan corak pendekatan diambil perwakilan apabila mengundi nanti.
Apakah berdasarkan kedudukan sebagai menteri atau timbalan menteri dan jika inilah kriterianya, maka mereka akan menilai prestasi mereka. Atau siapakah yang lantang bersuara memperjuangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mahupun isu Petronas-Petros.
Apakah pula kriteria pemilihan nanti berasaskan ‘kewilayahan’ atau bagaimana.
Jika ikut wilayah, tiada wakil utara dalam barisan calon Naib Presiden tetapi ada dua wakil wilayah tengah – Dr Annuar dan Len Talif, kedua-duanya timbalan menteri.
Yang lain semuanya wilayah selatan termasuk di kawasan pesisir seperti Julaihi.
Jika ini menjadi kriteria, maka wilayah utara merangkumi Limbang/Lawas, Miri dan Bintulu boleh menjadi penentu setelah wilayah tengah terbelah dua.
Tidak diketahui lagi apakah pada pemilihan kali ini wujud ‘kelompok’ iaitu menggunakan ‘senarai pilihan’, yang menyerupai strategi yang kerap diguna pakai dalam pemilihan untuk UMNO sebelum ini seperti ‘Team A vs Team B’, ‘Team Wawasan’ dan ‘Team Mahathir vs Team Ku Li’.
WUJUD ‘TEAM’?
Setakat ini belum nampak kewujudan seperti ini tetapi pernah wujud dalam pemilihan PBB sebelum ini.
Sesuatu yang negatif menggunakan ‘kelompok’ ini ialah perwakilan sukar membuat pilihan secara sukarela kerana ia bagaikan ‘jual pukal’ walaupun dalam ‘team’ itu ada yang mungkin tidak berkenan di hatinya tetapi terpaksa memilih kerana ‘terpikat, terpujuk rayu’ untuk memilih ‘team dalam senarai’ pilihan, yang boleh jadi merangkumi ‘team calon Naib Presiden dan MT’.
Begitu pun, undi tetap berasaskan individu bukan berkumpulan, yang cuma strategi pemikat.
“Tetapi kali ini saya nampak agak terbuka, terbuka untuk semua tanpa tim tertentu,” kata seorang pemimpin muda dalam PBB.
Jika ada pun katanya, mungkin dalam kelompok ‘YB’ bagi pemilihan untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi kedua-dua sayap Bumiputera dan Pesaka.
Ada tiga timbalan menteri bersaing bagi jawatan MT sayap Bumiputera iaitu Datuk Ir Aidil Lariwoo, Datuk Abdullah Saidol dan Datuk Ricky@Mohammad Razi Sitam dan lapan ADUN biasa iaitu Awla Dris (Simunjan), Safiee Ahmad (Daro), Mohamad Duri (Kalaka), Abdul Yakub Arbi (Balingian), Iskandar Turkee (Jepak) dan Razaili Gapor (Beting Maro).
Turut serta Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab dan Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Yang lain adalah Dato Haidar Khan Asghar, Syed Hamzah Wan Hamid Edruce, Dato Mohamad Yusnar Matalie, Sulhie Salleh, Zainulabidin @Zainal Ismail, Comat Amid, Julaihi Mohamad, Hadzman Johnny dan Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Untuk sayap Pesaka, 19 calon merebut 14 jawatan MT termasuk dua Timbalan Menteri – Datuk Jefferson Jamit, dan Datuk Dr Jerip Susil serta tiga Ahli Parlimen Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo), Dato Henry Sum Agong (Lawas) dan Dato Dr Richard Rapu (Betong) selain Senator Michael Mujah Lihan.
Lima ADUN turut bertanding – Dato Palu @Paulus Gumbang (Batu Danau), Dato Dennis Ngau (Telang Usan), Lidam Assan (Katibas), John Ilus (Bukit Semuja) dan Dr Simon Sinang Bada (Tebedu).
Jawatan Naib Presiden dalam PBB sebenarnya berada dalam hierarki keempat selepas Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan.
Ini kemudian disusuli jawatan Ketua Wanita dan Pemuda serta Majlis Tertinggi (MT).
Untuk naik tangga demi tangga dalam susunan ala piramid hierarki itu, lazimnya bermula di peringkat pergerakan Pemuda seperti mana saluran dilalui Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini.
Turut bermula di peringkat Pemuda ialah dua Timbalan Presiden sekarang iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (sayap Bumiputera) serta Naib Presiden kanan, Dato Sri Fadillah Yusof (sayap Bumiputera).
Pemerhati berkata yang payahnya ialah melepasi peringkat Naib Presiden, seperti juga ‘kepayahan’ melepasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika lulus cemerlang, bahtera seterusnya lebih mudah.
PILIHAN RAYA NEGERI TAHUN INI?
Ada pula membuat ramalan kemungkinan berlaku rombakan Kabinet selepas perhimpunan agung PBB ini dan kemungkinan pula pilihan raya negeri (PRN) menyusul pada tahun ini.
PRN Sarawak kali ke-12 diadakan pada 18 Disember 2021 dan tempoh kerajaan negeri sekarang akan berakhir pada Disember 2026 nanti.
Lazimnya pilihan raya diadakan setahun atau beberapa bulan lebih awal.
Apakah PRN mungkin diadakan akhir tahun ini atau awal tahun depan?
Apabila Datuk Martin Ben dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB selepas penyandangnya Miro Simuh memutuskan untuk melepaskan jawatan itu, apakah beliau selepas ini dilantik sebagai menteri penuh?
Ben adalah ADUN Kedup yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah.
Mungkin seorang lagi pemimpin Bidayuh dilantik sebagai menteri penuh setelah ketiadaan Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
Jika benar berlaku rombakan Kabinet, apakah timbalan menteri yang menang jawatan Naib Presiden, bakal dilantik menteri penuh?
PBB pula dilihat mula mendidik pemimpin muda dalam pergerakan Wanita, apabila mengangkat Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai Timbalan Ketua 2, menggantikan veteran Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Mungkin suatu hari nanti, Sharifah Hasidah bakal menggantikan Ketua Wanita sekarang, Dato Sri Fatimah Abdullah? Dalam PBB memang wujud konsensus.
Jika Ketua Pemuda mewakili sayap Pesaka, maka Ketua Wanita hendaklah dari sayap Pesaka dan begitu juga sebaliknya.
Sebab itu, kita lihat susun atur antara sayap Bumiputera dan Pesaka dari jawatan tertinggi hingga MT tidak bertembung kecuali untuk jawatan Presiden yang dimenangi tanpa bertanding oleh Abang Johari.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden iaitu Uggah (bagi sayap Pesaka) dan Awang Tengah mewakili sayap Bumiputera.
Dua Naib Presiden Kanan PBB iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang tanpa bertanding.
Tiga jawatan Naib Presiden bagi sayap Pesaka juga dimenangi tanpa dicabar dan terus kekal disandang oleh Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerawat Gala dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Selamat bersidang!
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.