
KUCHING: Menjelang sambutan perayaan Krismas yang bakal diraikan pada 25 Disember depan, suasana persiapan semakin dirasai dalam kalangan masyarakat di Sarawak apabila masing-masing giat membuat persiapan awal bagi memastikan perayaan disambut dengan penuh keceriaan bersama keluarga tersayang.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini di beberapa pusat membeli-belah sekitar bandar raya mendapati orang ramai mula mendapatkan barangan keperluan perayaan seperti perhiasan Krismas, biskut dan kek.

Salah seorang pelanggan pusat membeli-belah, Maslin berkata, beliau telah memulakan persiapan dengan mendapatkan lilin untuk aktiviti ‘carolling’ selain mencari perhiasan bagi menghias kediaman.
Menurutnya, sambutan Krismas sentiasa dinantikan kerana membawa kegembiraan tersendiri.
“Setiap tahun saya akan membuat persiapan lebih awal supaya dapat menikmati suasana Krismas dengan lebih tenang,” katanya.
Beliau turut mengakui berasa amat teruja dan tidak sabar menunggu ketibaan Hari Krismas kerana ia merupakan masa terbaik untuk berkumpul bersama keluarga.

Sementara itu, pelanggan pusat membeli-belah Bandang berkata persiapan Krismas tahun ini lebih bermakna apabila dilakukan bersama isteri dan anak-anak dengan membeli perhiasan pokok Krismas.
Katanya, keterujaan jelas terpancar di wajah anak-anak ketika memilih hiasan dan mereka sudah merancang untuk menghias pokok Krismas secara bersama-sama di rumah.
“Anak-anak sangat gembira dan tidak sabar untuk menghias pokok Krismas. Nilai kebersamaan ini menjadi kenangan manis yang mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Dalam pada itu, penjual daging khinzir, Adella berkata permintaan terhadap daging meningkat menjelang musim perayaan, malah terdapat pelanggan yang membuat tempahan lebih awal.
“Setiap kali musim perayaan, permintaan memang bertambah, namun bekalan masih mencukupi untuk memenuhi keperluan pelanggan,” jelasnya.

Di Kota Samarahan, pengusaha butik pelamin dan dandan rambut, Joseph K berkata kesibukan menguruskan perniagaan kecilnya tidak menghalang beliau daripada membuat persiapan Krismas. Menurutnya, walaupun harga barangan kini agak mahal, ia bukan penghalang untuk menyambut perayaan tersebut.
“Perkara yang paling penting adalah kebersamaan. Walaupun diraikan secara sederhana, sambutan Krismas tetap bermakna apabila diraikan bersama keluarga tersayang,” katanya.
Secara keseluruhan, persiapan menjelang Krismas jelas mencerminkan semangat kebersamaan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat di negeri ini. Walaupun disambut secara sederhana, nilai kasih sayang dan perpaduan terus menjadi teras utama dalam menyemarakkan kemeriahan perayaan Krismas.
Oleh Norman B