
KULAI: Sebanyak 17 individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat ini dipercayai menyebarkan maklumat palsu di media sosial berkaitan krisis tenaga global.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, individu itu antaranya dikenal pasti menyunting gambar dan infografik memaparkan maklumat palsu dengan menggunakan nama agensi berita tempatan.
“… ada orang yang menyunting gambar sama ada daripada TV3 atau Astro dan menyatakan harga petrol serta elektrik akan naik tetapi jumlahnya serta maklumat dalam gambar itu semua salah,” katanya ketika berucap sempena Perasmian Bengkel Komuniti Filem dan Belia Kreatif di sini hari ini.
Beliau berkata, krisis tenaga global bukan sahaja memberikan kesan kepada Malaysia tetapi juga seluruh dunia, dengan terdapat negara telah melaksanakan langkah bekerja dari rumah untuk kakitangan kerajaan dan tidak terkecuali pembelajaran murid sekolah.
“Ada negara yang stesen minyak sudah ditutup kerana minyak sudah habis, ini adalah satu cabaran yang bukan dihadapi oleh Malaysia sahaja tetapi dihadapi seluruh dunia,” katanya.
Teo berkata, meskipun Malaysia mempunyai sumber minyak sendiri, namun jumlahnya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan negara, sekali gus menjelaskan 38 peratus minyak mentah datang melalui Selat Hormuz.
Sehubungan dengan itu, Teo berharap orang ramai, khususnya generasi muda memainkan peranan menjadi “penjernih informasi” dengan mencipta kandungan yang mendidik masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebelum ini turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Fadillah berkata, kerajaan komited untuk terus menyalurkan maklumat terkini secara berkala dan telus berhubung situasi semasa krisis bekalan dan harga tenaga global, bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar tanpa menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu. – Bernama