
MIRI: Sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada 2024 iaitu meningkat daripada 5,507 kes pada tahun sebelumnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata 1,124 pasangan Islam bercerai di Sarawak pada 2024.
“Mungkin ada juga kes yang tidak dilaporkan kerana pasangan memilih untuk bertahan demi keluarga. Sebab itu, kita perlu mencari jalan agar masalah ini dapat dicegah lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Program Wacana Khas Keluarga Islam Sarawak 2025: Syariah Asas Keluarga Sejahtera hari ini.

Menurut Nancy, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) menunjukkan sebab utama perceraian ialah tiada persefahaman dengan 56.2 peratus berpunca daripada pihak lelaki dan 38 peratus daripada pihak wanita.
“Ini adalah cabaran sebenar yang perlu kita tangani bersama, bukan hanya melalui undang-undang tetapi juga dengan pendidikan, bimbingan, dan sokongan sosial.
“Masa depan keluarga Islam Sarawak bergantung pada usaha kolektif kita hari ini. Saya menggesa semua pemimpin masyarakat, guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan untuk menjadi ejen perubahan,” katanya.
Jelasnya, KPWKM sendiri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program kaunseling keluarga, kursus pra-perkahwinan yang diperkasa, serta kempen kesedaran melalui talian kasih yang bertujuan memastikan keluarga mendapat tempat perlindungan dan bimbingan.
“Setiap keluarga yang kita kuatkan hari ini akan menjadi benteng negara esok. Setiap hati yang kita sentuh hari ini akan menjadi cahaya masa depan yang tidak akan padam.
“Marilah kita bersama-sama memastikan institusi keluarga Islam terus kukuh kerana keluarga yang sejahtera adalah benteng negara yang makmur,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling