Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Krisis PAS–Bersatu dalam Perikatan Nasional
  • KOLUMNIS

Krisis PAS–Bersatu dalam Perikatan Nasional

Utusan Sarawak 11 hours ago

HUBUNGAN antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) hari ini semakin jelas memasuki fasa krisis yang serius.

Pada awalnya hubungan dibina sebagai gabungan pragmatik pasca kejatuhan Pakatan Harapan (PH), kini berhadapan dengan pertembungan kepimpinan, perebutan legitimasi, dan kegagalan mengurus realiti kuasa secara kolektif.

Retakan ini bukan lagi bersifat tersirat atau dalaman, sebaliknya telah dizahirkan secara terbuka melalui kenyataan pemimpin, sindiran politik, serta tindakan organisasi yang bercanggah.

Bagi memahami  punca hubungan PAS–Bersatu menjadi retak menunggu belah, maka krisis ini perlu difahami secara kronologi dan struktural, bukan sekadar dilihat sebagai konflik peribadi atau emosi politik semata-mata.

Keputusan tanpa konsensus

Bibit pertama ketegangan tercetus seawal pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum 2022. Ketika Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya PN dan PH mempertimbangkan pembentukan kerajaan perpaduan, keputusan drastik telah dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa rundingan menyeluruh dengan PAS, khususnya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyebabkan ketidakpuasan hati.

TAN Sri Muhyiddin Yassin. Foto BERNAMA

Keputusan sebelah pihak sahaja atau bersifat unilateral ini telah memberi kesan besar daripada sudut sentimen pimpinan tertinggi PAS yang merupakan parti yang memegang kerusi terbesar dalam PN iaitu sebanyak 43 kerusi parlimen manakala Bersatu hanya mempunyai 31 kerusi akan tetapi enam Ahli Parlimen Bersatu isytihar sokong Kerajaan Perpaduan.

Maknanya, Bersatu hanya tinggal 25 kerusi sahaja. Terdapat setiap satu kerusi Parlimen Bersatu terletak di Saratok, Sarawak dan Beluran Sabah.

Situasi ini tidak termasuk dua kerusi Bersatu yang menang di Kelantan menggunakan logo PAS. Hal ini bermakna kedudukan Bersatu bergantung kepada ihsan PAS Kelantan.

Namun PAS hanya dilihat seolah-olah sekadar pelengkap kepada keputusan yang telah ditetapkan oleh Pengerusi PN. Dalam politik gabungan, rasa dihormati dan dirujuk sama pentingnya dengan pembahagian jawatan.

Kegagalan memelihara prinsip ini menanam benih ketidakpercayaan yang berpanjangan.

Episod ‘menebuk atap’ dan keletihan politik PAS

Ketegangan ini semakin melebar apabila PAS memberi ruang kepada Bersatu untuk menjayakan strategi ‘menebuk atap’ bagi merampas semula kuasa.

Namun, episod menunggu ‘cukup jumlah’ yang berlarutan tanpa hasil nyata menyebabkan PAS berasa diperalatkan dalam permainan politik berisiko tinggi. Difahamkan peranan ini telah diberikan kepada Azmin Ali untuk menjayakannya tetapi gagal.

LOGO Bersatu

Bagi PAS, kegagalan ‘tebuk atap’ ini bukan sahaja menghakis kredibiliti gabungan, malah membebankan parti dari segi moral, jentera dan sokongan akar umbi.

Kegagalan Bersatu menterjemahkan strategi tersebut kepada hasil konkrit akhirnya mencetuskan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan kepimpinan PAS.

Isu calon Perdana Menteri

Retakan semakin jelas apabila PAS berasa mereka tidak dibawa berunding secara serius mengenai pencalonan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri PN bagi pilihan raya umum akan datang.

Ketiadaan perbincangan formal mengenai isu paling kritikal dalam gabungan itu ditafsir PAS sebagai kegagalan Bersatu mengiktiraf realiti kuasa baharu pasca PRU15.

PAS muncul sebagai parti dominan dari segi bilangan kerusi, kekuatan jentera dan penguasaan negeri, namun peranan strategiknya tidak diterjemahkan dalam proses membuat keputusan tertinggi PN.

Isu ini mengubah hubungan PAS–Bersatu daripada sekadar perbezaan pandangan kepada persoalan legitimasi kepimpinan.

Kontroversi dana

Isu dana pilihan raya umum menjadi titik retak paling berbahaya. Kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendakwa Bersatu menanggung sepenuhnya kos kempen PN termasuk sumbangan kewangan kepada PAS, disanggah keras oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Foto BERNAMA

Sanusi secara terbuka mencabar agar diperincikan kepada siapa dana tersebut disalurkan, sambil menegaskan bahawa PAS Kedah membiayai sendiri kempen, malah mendahulukan bayaran untuk calon Bersatu.

Pertikaian terbuka ini bukan sekadar soal angka, tetapi melambangkan runtuhnya kepercayaan kewangan dan moral antara dua parti teras PN.

Akar umbi, jentera dan soal kepimpinan

Sanusi juga tidak berselindung mengkritik kelemahan Bersatu dari sudut akar umbi dan jentera. Sindiran bahawa ada parti ‘datang bertanding syok sahaja’ mencerminkan realiti operasi PN di lapangan yang mendakwa bahawa PAS menanggung beban utama, manakala rakan gabungan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan PAS.

Dalam politik, siapa yang membawa jentera, dana dan tenaga biasanya menuntut suara lebih besar. Kritikan ini membawa mesej jelas bahawa PAS tidak lagi melihat Bersatu sebagai rakan setara, tetapi sebagai parti yang bergantung kepada kekuatan PAS untuk terus relevan.

Isyarat umur dan peralihan kepimpinan

LOGO PAS.

Kenyataan Presiden PAS bahawa calon Perdana Menteri PN mesti berusia bawah 70 tahun merupakan isyarat politik yang tidak dapat disalah tafsir.

Walaupun dibingkai sebagai prinsip kepimpinan muda, ia jelas ditujukan kepada Muhyiddin Yassin yang kini berusia 78 tahun.

Kenyataan ini menandakan perubahan sikap PAS daripada menyokong kepimpinan Bersatu secara tersirat kepada mencabar dominasi tersebut secara terbuka, tetapi berlapik.

Pakatan longgar dan persepsi terdesak

Usaha Muhyiddin membentuk pakatan longgar dengan pelbagai pihak pembangkang di luar PN — termasuk tokoh yang ideologinya bercanggah dengan PAS seperti P. Waythamoorthy, iaitu ketua kepada Hindu Rights Action Force atau HINDRAF dan P. Ramasamy yang pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Yang ironinya,  pimpinan PAS tidak dijemput dalam mesyuarat tersebut, meskipun parti Gerakan parti komponen PN dijemput dalam mesyuarat tersebut.

Tindakan Muhyiddin tersebut ditafsir sebagai langkah terdesak. Bagi PAS, pendekatan ini mencairkan identiti PN dan menunjukkan Muhyiddin cuba bergerak secara solo tanpa konsensus gabungan.

Langkah ini mengukuhkan persepsi bahawa Bersatu lebih mementingkan survival politik sendiri berbanding membina gabungan yang berprinsip dan konsisten.

Konflik arahan berbeza

Perbezaan arahan dalam isu Sabah — apabila Hadi Awang mengarahkan sokongan kepada GRS Sabah pimpinan HajijiNoor, sementara Muhyiddin mahu kekal sebagai pembangkang dan ini sebenarnya menyerlahkan kegagalan penyelarasan kepimpinan PN.

Keadaan menjadi lebih parah apabila PAS bertindak tegas terhadap ADUNnya dalam krisis politik di Perlis yang menandatangani SD, tetapi Bersatu tidak mengambil tindakan terhadap lima ADUN Bersatu yang menjatuhkan MB Perlis daripada PAS. 

Situasi ini memperkukuh persepsi bahawa kepimpinan oleh Muhyiddin selaku pengerusi PN tidak adil dan berat sebelah.

Krisis struktur PN

Penolakan PAS terhadap pelantikan Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN menunjukkan pimpinan PAS tidak bersetuju dengan pilihan Muhyiddin yang dilihat tidak membincangkan lebih mendalam dengan pimpinan PAS dalam PN. 

Berlaku juga episod peletakan jawatan Dr Samsuri sebagai Bendahari PN menandakan krisis institusi yang mendalam dan protes terhadap situasi yang berlaku dalam tadbir urus PN.

Ternyata, perkara ini menunjukkan bahawa masalah PN bukan lagi isu komunikasi, tetapi sudah menjejaskan struktur pengurusan gabungan.

Rumusan

Kesimpulannya, krisis PAS–Bersatu bukan berpunca daripada satu faktor, akan tetapi hasil daripada pelbagai rentetan kekecewaan, kegagalan rundingan, dan ketidakseimbangan kuasa.

PAS kini melihat dirinya sebagai pemegang mandat sebenar, manakala Bersatu dilihat gagal menyesuaikan diri dengan realiti politik baharu.

Sekiranya krisis ini tidak ditangani secara jujur dan struktural, PN berisiko menjadi gabungan rapuh — atau berpecah secara senyap sebelum berhadapan dengan pengundi dalam PRU dan PRN akan datang.

Dalam politik, gabungan tidak runtuh kerana musuh di luar, tetapi kerana kegagalan mengurus kepercayaan dalaman dan PN kini sedang berhadapan dengan persimpangan dan  retak menunggu jika tidak ditangani secara bijaksana!

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan AkademiKenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Tragedi menyayat hati Kapal Pulau Kidjang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.