
GELOMBANG demonstrasi yang tercetus di Indonesia membangkitkan semula persoalan mendasar tentang legitimasi politik dan jurang antara elit dengan rakyat.
Walaupun ekonomi makro negara itu kelihatan stabil, dengan kadar pertumbuhan sederhana serta hutang awam terkawal, kemarahan rakyat tetap meledak.
Fenomena ini memberi peringatan penting kepada Malaysia bahawa kestabilan politik tidak hanya bergantung pada angka ekonomi, tetapi juga kepada tanggapan rakyat terhadap keadilan, keterhubungan, dan integriti elit pemerintah.
Politik sebagai institusi amanah
Asas politik moden adalah amanah untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berhemah. Namun, kecenderungan segelincir ahli politik di Indonesia baru-baru dilihat mempersendakan suara dan keluhan rakyat.
Situasi ini direkayasa pula oleh media sosial seolah-olah institusi tersebut dijadikan sebagai pentas hiburan yang mencemarkan martabat institusi demokrasi.

Perkara ini diburukkan lagi apabila video tersebut disunting begitu rupa seolah-olah meraikan kenaikan elaun perumahan.
Maka rakyat menanggapi sidang dewan yang sepatutnya menjadi ruang wacana serius dipenuhi dengan aksi simbolik yang tidak berkaitan dengan dasar rakyat, mesej yang dihantar kepada masyarakat adalah bahawa penderitaan mereka dipandang remeh.
Malaysia perlu berwaspada dan belajar daripada pengalaman perit ini. Tradisi demokrasi di negara ini masih muda dan mudah terdedah kepada gimik.
Sekiranya ahli politik menormalisasi perilaku yang melebihkan tontonan berbanding perdebatan dasar, lambat-laun rakyat akan menilai politik sebagai tidak lebih daripada pertunjukan kosong.
Angka ekonomi tidak menjamin kepuasan sosial
Kestabilan makroekonomi sering dibanggakan oleh kerajaan sebagai tanda kejayaan. Namun, pertumbuhan KDNK atau penurunan kadar pengangguran tidak bermakna rakyat menikmati taraf hidup lebih baik.
Jurang antara statistik negara dan realiti isi rumah adalah sumber utama keresahan sosial.
Contohnya, meskipun inflasi terkawal, harga makanan yang kekal tinggi menekan perbelanjaan bulanan. Begitu juga, kadar pengangguran rendah tidak bermaksud rakyat memperoleh kerja yang setimpal dengan kemahiran atau gaji yang memadai.
Angka makro hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada pendapatan boleh guna, keupayaan menabung, dan akses kepada perkhidmatan asas.
Malaysia perlu menekankan indikator lapisan kedua, iaitu kualiti pekerjaan, tahap pendapatan isi rumah, limpahan pembangunan yang lebih dirasai langsung dan bukan sedar pengumuman puluhan juta akan tetapi tidak dapat dirasai langsung oleh rakyat, disantuni pemerintah dan kemampuan memiliki rumah – kerana di sinilah ukuran sebenar kesejahteraan rakyat dapat dilihat.
Populisme kosong dan risiko kelesuan demokrasi
Populisme sering muncul apabila jurang elit-rakyat melebar. Ahli politik yang tidak mampu menyelesaikan isu struktur cenderung menggunakan wajah popular, retorik sentimental, atau gimik massa sebagai jalan pintas meraih sokongan.
Populisme sebegini mungkin mengasyikkan sementara, tetapi ia berbahaya kerana tidak diiringi dasar substantif.
Apabila rakyat akhirnya sedar janji populis tidak membawa perubahan nyata, rasa kecewa bertukar menjadi sinisme terhadap demokrasi itu sendiri.
Bahaya terbesar ialah rakyat hilang keyakinan bahawa sistem politik mampu memperbaiki kehidupan mereka.
Sinisme ini membuka ruang kepada autoritarianisme, kerana masyarakat lebih rela memilih politik sentimen sempit berbanding terus ditipu gimik demokrasi.
Media sosial: Ruang publik yang tidak terkawal
Ledakan media sosial menambah kerumitan. Ia mempercepatkan penyebaran maklumat, tetapi juga memperbesar ruang manipulasi.
Dalam demonstrasi di negara jiran, imej-imej palsu yang tular menenggelamkan tuntutan asal para pekerja dan mahasiswa. Naratif sensasi menggantikan wacana substantif.
Malaysia berada dalam risiko sama. Polarisasi politik mudah dieksploitasi melalui media sosial, menjadikan rakyat rapuh dan lebih mudah dimanipulasi.
Namun, menyalahkan media sosial semata-mata bukan jawapan. Yang perlu ialah strategi literasi digital nasional, agar rakyat mampu menilai maklumat secara kritis dan tidak terjebak dalam jerat propaganda dan berita palsu mahupun dimanipulasi.
Jurang elit dan rakyat: Punca kemarahan kolektif
Asas keresahan di negara jiran bukanlah sekadar angka ekonomi, tetapi persepsi bahawa elit politik menikmati keistimewaan berlebihan.
Ketika rakyat berhempas pulas menampung kehidupan, sebahagian elit dilihat hidup mewah dengan akses kepada kemudahan yang mustahil dicapai orang biasa. Kontras inilah yang melahirkan kemarahan kolektif.
Dalam konteks Malaysia, pola ini tidak asing. Persepsi rakyat terhadap gaya hidup segelintir ahli politik dan keluarga mereka sering mencetuskan polemik.
Jika tidak diurus dengan telus, jurang simbolik ini berpotensi membakar sentimen rakyat. Demokrasi tidak akan kukuh jika elit dilihat memanipulasi kedudukan untuk keuntungan peribadi.
Politik sebagai tanggungjawab kolektif, bukan hak istimewa
Sistem demokrasi menuntut kesedaran bahawa kedudukan politik bukan hak istimewa, tetapi tanggungjawab kolektif.
Ahli politik perlu kembali kepada asas: mengutamakan kepentingan dan perjuangan rakyat, menunjukkan teladan hidup sederhana, serta menolak sebarang bentuk salah guna kuasa.
Malaysia harus belajar bahawa ketidakadilan yang dilihat – bukan semestinya dibuktikan melalui angka rasuah dan ini sudah cukup membangkitkan kemarahan.
Justeru, ketelusan gaya hidup, pengisytiharan harta, dan kebertanggungjawaban awam mesti dijadikan norma, bukan sekadar slogan.
Jalan bermuhasabah
Beberapa langkah muhasabah wajar dipertimbangkan oleh elit politik Malaysia termasuklah ketuanan berpaksikan rakyat yang menekankan keadilan ekonomi dengan memastikan pertumbuhan makro diterjemahkan kepada kenaikan gaji, peluang pekerjaan berkualiti, dan akses kepada perumahan mampu milik.
Reformasi pasaran buruh yang mengurangkan ketergantungan pada pekerja asing murah serta meningkatkan produktiviti pekerja tempatan melalui latihan dan teknologi perlu disemarakkan.
Begitu juga aspek perlindungan sosial inklusif sebagai usaha memperkukuh jaringan keselamatan rakyat melalui agihan bantuan cekap, insurans sosial, dan skim persaraan mampan.
Pada masa sama, keteladanan moral elit, iaitu pemimpin mesti menunjukkan kesederhanaan hidup dan mengelak simbol kemewahan berlebihan.
Yang perlu digerakkan ialah pendidikan politik rakyat untuk memperluas literasi demokrasi agar masyarakat tidak terperangkap dalam retorik populis, manipulasi media sosial atau gimik politik.
Politik kebertanggungjawaban
Rakyat semakin matang dan tidak lagi mudah dipujuk dengan slogan. Mereka menuntut jawapan konkrit terhadap masalah asas semasa seperti kos makanan, pekerjaan, pendidikan, dan masa depan anak-anak mereka.
Politik yang hanya menghiburkan tanpa menawarkan penyelesaian akan cepat kehilangan legitimasi.
Malaysia perlu memastikan bahawa institusi politik kekal sebagai wadah untuk menyelesaikan isu-isu mendesak dan berkeperluan. Jika ahli politik gagal menunjukkannya, maka rakyat akhirnya akan mencari saluran alternatif, sama ada melalui jalanan atau kuasa bukan demokratik.
Kesimpulan
Insiden serantau ini membuktikan bahawa kestabilan ekonomi makro tidak menjamin kestabilan politik jika rakyat berasa terpinggir.
Kemewahan elit yang dipertontonkan di tengah kesusahan rakyat hanya akan membakar api kemarahan. Populisme dangkal, gimik media sosial, dan jurang elit-rakyat adalah resepi kepada krisis legitimasi.
Maka kita tidak boleh menunggu sehingga rakyat sendiri hilang kepercayaan terhadap sistem. Politik bukan sinetron, bukan pentas hiburan, tetapi amanah besar yang menuntut integriti, keberanian dan kepedulian.
Hanya dengan politik yang matang, cakna dan dasar yang berpaksikan rakyat, negara mampu mengelak situasi seperti di Indonesia.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)