Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Krisis dalaman Bersatu: Cabaran kepimpinan, masa depan
  • KOLUMNIS

Krisis dalaman Bersatu: Cabaran kepimpinan, masa depan

Utusan Sarawak 5 hours ago

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ditubuhkan pada 2016 sebagai alternatif kepada UMNO, kini berdepan dengan krisis dalaman yang menggugat kestabilan serta kelangsungan politiknya.

Parti ini pada asalnya menarik sokongan daripada kalangan pemimpin dan ahli UMNO yang kecewa dengan skandal dan isu integriti, tetapi dalam masa kurang satu dekad, Bersatu sendiri telah melalui fasa perpecahan, pertukaran kepimpinan serta krisis legitimasi berpanjangan.

Penubuhan awal

Bersatu ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai reaksi terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB.

Parti ini mula menunjukkan pengaruh besar apabila menyertai Pakatan Harapan (PH) dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

TAN Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, krisis mula muncul apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin tertinggi parti mengenai hala tuju kerjasama politik.

Peristiwa ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 menyebabkan tumbangnya kerajaan PH dan membawa kepada pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu.

Namun selepas tidak berjaya menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum ke -15, Bersatu dilihat semakin terasing, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah dalam kalangan parti politik lain.

Akar umbi kecewa apabila Presiden parti Bersatu menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan.

Dikatakan keputusan ini tidak dirunding dalam kepimpina parti Bersatu. Selepas itu, terdapat enam Ahli Parlimen Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan, ada yang mulai hilang kepercayaan kerana gagal membentuk kerajaan.

Kini krisis dalaman Bersatu kian parah apabila dikatakan berlakunya persaingan kem Hamzah Zainudin dengan kem Azmin Ali yang dikatakan mendapat sokongan Presiden Bersatu hingga berlaku pemecatan dan penggantungan Ahli Parlimen dan pemimpinan bahagian Bersatu.

Punca krisis dalaman

Perbezaan ideologi dan pendekatan politik antara tokoh seperti Muhyiddin Yassin, Mahathir dan beberapa pemimpin muda menyebabkan parti ini sukar mencapai konsensus dalam membuat keputusan strategik hingga membawa perpecahan dalaman peringkat awal.

HAMZAH Zainudin.

Tidak seperti parti-parti lain yang mempunyai ideologi tertentu seperti keadilan sosial (PKR) atau nasionalisme Melayu (UMNO), Bersatu dilihat kabur dari segi dasar perjuangan.

Walaupun pada awalnya menonjol sebagai pejuang reformasi dan integriti, hala tuju itu berubah apabila Bersatu bekerjasama dengan parti-parti yang pernah dikritiknya.

Hal ini menyebabkan penyokong keliru dan hilang kepercayaan terhadap keikhlasan perjuangan parti.

Sebelum ini, kekalahan dalam beberapa siri pilihan raya negeri, seperti di Melaka, Johor, dan juga keputusan mengecewakan dalam PRU-15 menunjukkan penurunan sokongan rakyat terhadap Bersatu.

Ini bukan sahaja melemahkan moral ahli parti, malah mencetuskan keraguan terhadap keupayaan pucuk pimpinan.

Begitu juga, isu pemecatan ahli dan sebahagian ahli menganggap proses dalaman tidak demokratik, dan ini memburukkan lagi persepsi terhadap kepimpinan parti.

Perebutan kuasa dan jawatan khususnya keinginan mengambilalih jawatan presiden parti dan menyingkirkan pihak berbeza cara kepimpinan, merumitkan lagi krisis dalaman parti tersebut.

Sokongan

Sebelum ini ahli Bersatu mempunyai 31 Ahli Parlimen, kemudian enam  Ahli Parlimen mereka menyokong Kerajaan Perpaduan.

Daripada 25 Ahli Parlimen berbaki, 16 Ahli Parlimen kini tidak bersetuju pencalonan Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional.

Jumlah sebenar tidak menyokong ini tidak termasuk Machang, Tasek Gelugor dan Larut  yang menjadikan 19 Ahli Parlimen yang dilihat sebagai kem Hamzah Zainuddin. 

Kem Muhyiddin pula kini hanya enam orang sahaja termasuk di Pagoh, Putrajaya, Langkawi, Padang Serai dan Saratok. 

Maknanya, parlimen Bersatu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Melaka tidak menyokong Pagoh iaitu suatu angka besar dan dominan yang mampu mengancam kedudukan Presiden Bersatu jika tidak diselesaikan dengan segera.

Kesan terhadap politik nasional

Krisis dalam Bersatu bukan hanya memberi kesan kepada parti itu sendiri, tetapi juga memberi impak besar terhadap gabungan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Bersatu.

Ketidakstabilan dalaman memberi ruang kepada parti komponen lain seperti PAS untuk mengambil alih dominasi dalam PN. Ini juga melemahkan blok pembangkang yang sepatutnya menjadi alternatif kukuh kepada kerajaan semasa.

Lebih jauh lagi, krisis ini menghakis keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik negara. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, rakyat mengharapkan kepimpinan politik yang fokus dan bersatu, bukan yang terus bergelut dengan konflik dalaman dan agenda peribadi.

Jalan ke hadapan

Maka reformasi dalaman parti perlu dalam konteks reformasi struktur organisasi dan memperkukuh proses demokrasi dalaman.

Apabila kepercayaan sudah hilang, maka pemilihan semula kepimpinan harus dilakukan secara telus dan inklusif untuk memastikan sokongan menyeluruh daripada ahli akar umbi.

Parti perlu menetapkan dengan jelas ideologi dan hala tuju perjuangan, sama ada mahu kekal sebagai parti nasionalis Melayu atau beralih kepada pendekatan lebih inklusif.

Tanpa asas yang kukuh, parti akan terus kehilangan identiti dan pengaruh.

Untuk kembali relevan, Bersatu perlu memberi fokus kepada isu rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan ekonomi.

Pendekatan retorik politik perlu digantikan dengan dasar yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian rakyat.

Sekiranya, ingin kekal dalam arena politik nasional, Bersatu perlu menyemak semula bentuk kerjasama politik yang dijalinkan.

Gabungan longgar yang hanya berasaskan kepentingan jangka pendek harus dielakkan. Sebaliknya, satu persefahaman kukuh yang berteraskan dasar dan prinsip bersama perlu diwujudkan.

PRN Sabah merupakan negeri yang mempunyai dinamik politik yang unik dan tidak mudah untuk diramal. Bersatu pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah sebelum berpindah ke kerusi pembangkang.

Kini dengan kedudukan yang goyah, Bersatu mungkin gagal menarik sokongan pengundi tempatan.

Kesan dominonya ialah PN secara keseluruhan akan kehilangan keupayaan untuk memberi saingan sengit dalam PRN Sabah.

Kesimpulan

Krisis dalaman Bersatu mencerminkan cabaran besar yang dihadapi oleh parti-parti politik baharu di Malaysia – iaitu bagaimana untuk kekal relevan, bersatu dan berdaya tahan dalam suasana politik yang dinamik.

Jika tidak ditangani segera, Bersatu berisiko menjadi parti pinggiran, malah lenyap sepenuhnya dari peta politik negara.

Namun, dengan reformasi dalaman yang berani, hala tuju yang jelas, dan pemimpin berwibawa, Bersatu masih mempunyai peluang untuk bangkit semula sebagai kuasa politik yang dihormati.

Pilihan ada di tangan kepimpinan dan ahlinya – sama ada untuk terus berpecah atau bersatu demi masa depan parti dan negara.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pemilihan sumber, tafsiran sejarah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.