SUKARELAWAN merentas sungai untuk laksanakan program.
PERJALANAN sejauh 570 kilometer, merentasi udara, darat dan sungai tidak mematahkan semangat 42 sukarelawan Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), untuk memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk di Rumah Panjang Kenyalang, Nanga Sengkeranji, Kapit, bermula 29 hingga 31 Julai lepas.
Rata-rata penduduk yang hadir mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma meluahkan rasa bangga dan terima kasih kepada pihak UNIMAS atas kerjasama dan bantuan diberikan di Rumah Panjang Kenyalang, yang merupakan destinasi keempat KRIS-UNIMAS.
PWII (B) Kaunselor Martin Bilun, 46, berkata, program KRIS-UNIMAS memudahkan penghuni di 14 rumah panjang di Sungai Menuan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Pelajar-pelajar sekolah juga disediakan dengan program pendidikan dan secara tidak langsung ia telah melahirkan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti,” katanya lagi.
Tamong ak Gassan, 63, juga meluahkan rasa gembira kerana rumah panjang mereka dipilih untuk program KRIS dan beliau serta keluarga dapat melakukan pemeriksaan kesihatan serta pemeriksaan mata percuma.
“Saya sangat gembira kerana mendapat pemeriksaan kesihatan dan cermin mata baru secara percuma. Ini bukan sahaja menjimat wang kami tetapi dapat menjimatkan masa untuk pergi ke bandar Kapit yang agak jauh dari rumah,” katanya.
Manakala Reta Belun, 32, mengucapkan terima kasih dengan KRIS-UNIMAS kerana menyerahkan bantuan barangan klinikal seperti kerusi roda, tandas mudah alih, lampin pakai buang dan banyak lagi kepada adiknya, Santie anak Belun, 23.
“Saya amat bersyukur kerana UNIMAS datang ke sini dan membantu adik saya yang kurang upaya dengan menyerahkan sumbangan barangan klinikal dan kepakaran dan nasihat dari pakar mengenai pemeriksaan terbaik untuk adik saya,” katanya.
Selain merasa seronok dengan KRIS-UNIMAS, sukarelawan KRIS-UNIMAS sendiri turut merasa gembira kerana diberi peluang untuk membantu penghuni di rumah panjang di Kapit dalam program ini.
Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Pakar Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS (HPPPU), Profesor Madya Dr. Helmy Hazmi memberitahu, program tersebut bukan sahaja satu cara untuk membantu masyarakat dengan memberi perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma tetapi juga satu peluang untuk mendekati masyarakat terutama di rumah panjang dengan lebih rapat.
“Ia boleh membantu meningkatkan visibiliti UNIMAS sebagai jenama pendidikan tinggi terbaik di rantau ini dan pada masa sama, memberi pengalaman kepada sukarelawan untuk berbakti dengan masyarakat terutama di luar bandar,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan KRIS-UNIMAS, Robert Baring Jerangku, menjelaskan beliau begitu gembira kerana mendapat peluang menyertai program tersebut di rumah panjang berkenaan.
“Kita boleh bergaul dan memahami budaya masyarakat lain dan paling penting ialah kepakaran serta ilmu yang kita ada, dapat kita berkongsi bersama untuk kebaikan mereka,” sambung beliau.
Sementara itu, program KRIS-UNIMAS di rumah panjang Kenyalang telah disempurnakan perasmiannya oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat dan disaksikan bersama oleh Naib Canselor UNIMAS, Profesor Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit serta Pengarah HPPPU yang juga Pengarah Program, Profesor Madya Dr. Ehfa Bujang Safawi.