PILIHAN raya Sarawak ke-12 ini, salah satu kerusi mencuri perhatian adalah N39 Krian. Ini kerana Krian sebelum ini dimiliki oleh pembangkang di peringkat negeri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada pilihan raya ini Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan bahawa Bersatu tidak akan menyertai pilihan raya Sarawak ke-12, dan akan membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memenangi pilihan raya tersebut.
Pada hari penamaan calon, empat ahli Bersatu mengemukakan kertas pencalonan termasuk di Krian. Bekas penyandang kerusi Krian iaitu Ali Biju mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon bebas. Hal ini menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin Bersatu.
Keresahan ini kembali melegakan pemimpin Bersatu apabila Ali Biju mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding. Keputusan yang beliau ambil ini setelah berbincang dengan Muhyiddin. Penarikan diri beliau ini membuka ruang kepada pertandingan tiga penjuru.
Profil Kerusi
Krian merupakan sebuah kawasan luar bandar di Sarawak. Majoriti penduduk kawasan ini adalah kaum Iban. Mereka meliputi 90 peratus lebih daripada jumlah keseluruhan penduduk di kawasan ini.
Rata-rata pekerjaan penduduk di kawasan ini adalah dalam sektor pertanian. Pernah satu ketika Ahli Undangan Negeri yang mewakili kawasan tersebut ingin menjadikan Krian sebagai kawasan agropolitan.
Pembentukan Kerusi DUN Krian
Krian menjadi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak apabila diwartakan pada tahun 1968. Pembentukan kerusi ini sejajar dengan persediaan Sarawak menghadapi pilihan raya langsung.
Kerusi ini dipertandingkan buat kali pertama pada pilihan raya 1969. Pilihan raya tahun 1969 ini pula terpaksa ditunda pada tahun 1970 kerana masalah rusuhan berlaku di Kuala Lumpur.
Pertandingan Pertama
Pilihan raya pada tahun 1969/1970 memperlihatkan pertandingan yang panas antara parti kerajaan dengan pembangkang. Ketika itu pihak kerajaan berpecah kepada dua iaitu Parti Bumiputera dan Sarawak Chinese Association (SCA) di satu pihak dengan Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dipihak yang lain. Manakala parti pembangkang adalah Sarawak United People’s Party (SUPP) dan Sarawak National Party (SNAP).
Dalam pilihan raya pertama ini, di kerusi DUN Krian menyaksikan pertembungan antara tiga penjuru. Parti-parti yang bertanding adalah PESAKA, SUPP dan SNAP. Dalam pertembungan pada pilihan raya ini SNAP menamakan timbalan presiden SNAP iaitu Dunstan Endawie Enchana sebagai calon mereka di kerusi tersebut. Dunstan merupakan pemimpin berpengaruh di Krian.
Keputusan pilihan raya itu menyaksikan kemenangan kepada Dunstan Endawie dengan menjoriti 2061. Jikalau dicampur kedua-dua undi calon lawan juga masih gagal mengatasi kekuatan Dunstan Endawie. Kemenangan ini meletak Krian sebagai kerusi pembangkang.
Manakala pilihan raya kedua pada tahun 1974 juga menyaksikan Krian, tidak berganjak daripada penguasaan pembangkang dibawah SNAP. Dunstan Endawie berjaya mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Luke Anak Tungku dengan majoriti berkurangan iaitu 1727 undi.
Menjadi Kerajaan
Apabila SNAP menyertai kerajaan BN Sarawak, kerusi Krian secara automatik menjadi kerusi kerajaan. Kekuatan SNAP membantu BN mengekalkan kerusi Krian apabila dipertandingkan pada pilihan raya pada tahun 1978.
Dunstan Endawie masih kekal dicalonkan di kerusi tersebut. Beliau berdepan dengan calon bebas iaitu Jemeni Sangkan. Kekuatan SNAP dan BN ketika itu telah membantu kemenangan Dunstan semula di kawasan tersebut dengan majoriti lebih tinggi iaitu 3399 undi.
Apabila krisis kepimpinan SNAP berlaku, muncul pula sebuah parti serpihah SNAP iaitu Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). Parti ini menjadi cabaran utama SNAP untuk mengekalkan Krian di bawah BN. Manakala Dunstan Endawie pula tidak mempertahankan kerusi tersebut kerana bersara daripada politik. Oleh itu situasi ini membuka peluang kepada muka baharu ditampilkan.
Pada pilihan raya 1983 ini Krian jatuh ke tangan PBDS dengan calonnya Edmund Langgu Ak Saga. Beliau mengalahkan empat calon yang lain dengan majoriti tipis iaitu 445. Ketika itu telah diwujudkan BN Plus yang membolehkan PBDS menyertai kerajaan BN Sarawak.
Kembali Menjadi Pembangkang
Kerusi Krian menjadi panas semula apabila berlakunya krisis Ming Court pada 1987. PBDS telah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) melawan BN.
Edmund Langgu dicalonkan semula oleh PBDS untuk mempertahankan kerusi tersebut. Pada pilihan raya itu pertandingan adalah dua penjuru. Calon BN daripada SNAP iaitu Peter Nyarok Enterie telah dikalahkan oleh Edmund Langgu dengan majoriti 414 undi. Kejayaan Edmund Langgu ini menukar sekali lagi status Krian kepada kerusi pembangkang.
Bertukar Tangan
Kerusi Krian yang dipertandingkan pada tahun 1991 pula menyaksikan pertembungan tiga penjuru. Dua calon yang bertanding adalah calon lama iaitu penyandang kerusi Edmund Langgu dan calon lawan dari BN iaitu Peter Nyarok.
Calon ketiga daripada Parti Negara iaitu Jonathan Mawar Endek. Keputusan pilihan raya ini memberi kemenangan kepada calon BN iaitu Peter Nyarok. Ini membawa kepada kembalinya Krian menjadi kerusi kerajaan.
Selepas pilihan raya ini PBDS diterima semula sebagai kompenan BN. Hal ini membawa kepada ketenangan kepada kerusi Krian pada pilihan raya 1996, 2001 dan 2006.
Peter Nyarok memenangi kesemua pilihan raya ini. Hanya pada tahun 1996 beliau menghadapi cabaran sengit daripada calon bebas apabila hanya mendapat undi 477 majoriti.
Cabaran Parti Semenanjung
Pilihan raya tahun 2011 Krian kembali menjadi kerusi panas. Pada pilihan raya ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah meletak calon baharu iaitu Ali Biju melawan Peter Nyarok Enterie.
Dalam pilihan raya ini menyaksikan pertandingan empat penjuru. Selain dua calon dinyatakan tadi, dua lagi calon ialah dari SNAP dan calon bebas.
Sebelum ini PKR menerusi Keadilan pernah meletakkan calonnya bertanding pada pilihan raya 2001 dalam pertandingan lima penjuru. Namun calon Keadilan ketika itu kalah dengan hilang wang deposit.
PKR mencuba lagi dalam pilihan raya 2011. Keputusan mengejutkan apabila Ali Biju memperolehi majoriti besar mengalahkan Peter Nyarok dengan 2090 undi.
Ali Biju menerusi PKR sekali lagi memenangi kerusi Krian dalam pilihan raya 2016. Pertandingan dua penjuru dalam pilihan raya itu menyaksikan BN mencalonkan Kilat Beriak. Kilat Beriak hanya mampu mengurangkan undi Ali Biju kepada majoriti 1640 undi. Pendek kata Krian dalam dua pilihan raya ini kekal sebagai kerusi pembangkang.
Langkah Sheraton pada tahun 2020 pula menukar kedudukan Krian apabila Ali Biju meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu. Secara tidak langsung Krian bertukar parti dari PKR ke Bersatu.
Pada pilihan raya kali ini kerusi Krian kembali panas. Oleh kerana penarikan diri Ali Biju memberi peluang kepada tiga calon lain iaitu Friday Bilek (Gabungan Parti Sarawak), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu). Manakala PKR tidak meletak calon mereka di kerusi tersebut.
Persoalan timbul pada 18 Disember ini adalah ke manakah undi Ali Biju ini akan pergi? Tetapi sudah pasti Krian akan mendapat pemimpin baharu selepas pilihan raya ini.
Sejarah pertandingan di DUN Krian memang sesuatu yang menarik. Ia merupakan kerusi yang sentiasa bertukar tangan atau kategori panas. Dalam pilihan raya kali ini hanya pengundi sahaja yang tahu siapa pilihan mereka.
Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah,Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa,Universiti Kebangsaan Malaysia.