BANGGA… Rachel Jael Herry bergambar bersama salah satu gaun pengantin yang dihasilkannya
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah. Kita sering melukis impian untuk melakar kejayaan yang mampu menjulang tinggi nama kita namun, seberapa besarkah usaha yang telah kita mulakan bagi mengubah mimpi tersebut menjadi nyata?
Bak kata peribahasa ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya’, meskipun memiliki bakat sehebat individu kebanggaan seantero dunia, sekiranya tidak digilap demi menjadi lebih baik tidak akan membuahkan hasil setara dengan mimpi setinggi awan.
Berpegang kepada prinsip tersebut, Rachel Jael Herry, 21 yang dahulunya hanya belajar menerusi media sosial Youtube dan Google untuk menjahit kini mula menempa nama dalam bidang jahitan dan rekaan mampu membuka butik Chel Luxury miliknya pada usia 20 tahun.
Kejayaan yang dicipta tidak datang bergolek, gadis cilik yang merupakan anak kedua daripada empat adik beradik tersebut memberitahu kisahnya dengan mesin jahit bermula sejak sekolah rendah apabila ayahnya membelikannya mesin jahit dari Singapura.
Mesra berkongsi kisahnya, Rachel memberitahu mesin jahit tersebut dibeli bagi tujuan menjahit pakaian yang koyak namun ia tidak digunakan, hanya diletakkan di dalam stor rumah sehingga Rachel menginjak umur 19 tahun.
“Meskipun saya bukan seorang murid yang cemerlang dalam pelajaran saya tetap mendapat tawaran untuk masuk ke Tingkatan Enam namun saya berhenti pada semester kedua kerana tidak mempunyai minat untuk belajar.
“Setelah berhenti belajar dari tingkatan enam, saya bercadang untuk memohon menjadi pramugari namun dibantah oleh ayah saya kerana pandemik Covid-19 pada waktu itu berada pada tahap yang amat merisaukan.
“Dengan banyak masa lapang yang dimiliki, saya mencari aktiviti yang berguna untuk dilakukan yang ‘membawa kaki’ saya melangkah ke stor sehingga terjumpa mesin jahit lama tersebut yang kemudian digunakan saya untuk belajar menjahit,” ceritanya yang turut memberitahu hari tersebut telah menukar hidupnya hingga menimbulkan minat yang mendalam dalam bidang jahitan.
‘Sebuah kejayaan yang dicipta awalnya dimula dengan sebuah kesalahan dan bertukar menjadi pelajaran yang mendewasakan apabila diperbetul,’ barisan ayat ini menceritakan permulaan Rachel yang dahulu hanya mampu berani mengambil dua hingga tiga tempahan kerana masih belum yakin dengan hasil kerjanya namun berkat usaha berterusan, beliau kini menerima tempahan dari pelbagai pelosok negeri.
Pernah merasa kecewa kerana hasil yang dibuat tidak memenuhi kehendak pelanggan, belia berbangsa Sino Toraja tersebut mengidolakan Kashfi Zulkufli, pereka fesyen terkenal dari Kuala Lumpur untuk terus melangkah ke hadapan dan bercadang untuk mengambil Diploma dalam Reka Bentuk Fesyen pada hujung tahun ini untuk menambah ilmu.
“Beliau (Kashfi) ialah seorang pereka fesyen yang terkenal dalam kalangan artis dan menghasilkan baju seperti baju perkahwinan dan sebagainya dan turut memiliki butiknya tersendiri yang sangat cantik dan mewah.
“Selain itu, Encik Kash juga selalu memberikan saya kata-kata semangat agar saya dapat mencapai impian saya kelak untuk menjadi seorang pereka fesyen yang terkenal seperti beliau.
“Meskipun pernah kecewa kerana mengecewakan pelanggan, wajah dan reaksi pelanggan yang berpuas hati mengenakan pakaian rekaan saya terutamanya pada hari penting mereka seperti hari perkahwinan menjadi pemangkin dan kekuatan saya untuk tetap ‘berkarya’ dalam bidang ini,” kata Rachel.
Oleh RYNNA SHA’ERRA