Sebut sahaja ‘Mujab’ sudah pastinya pendengar setia stesen radio Wai FM Iban amat mengenali personaliti Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah berjaya mengangkat watak berkenaan bersama ‘Bunyau’ melalui segmen atau kapsul khas mereka di radio.
Personaliti RTM tersebut iaitu Stonton James Jaga, 38, amat diminati ramai pendengar setia Wai FM Iban bersama Ken Michael (Bunyau) berhubung kelincahan dan lawak mereka ketika mengetengahkan kapsul mereka di corong radio sepanjang minggu.
Bagaimanapun disebalik kelincahan menghiburkan pendengar setia radio Wai FM Iban, beliau juga sebenarnya memiliki satu lagi bakat lain yang mungkin tidak disedari oleh peminat selama ini.
Bakat yang dimaksudkan di sini ialah menghasilkan ‘stand’ gong (digelar sebagai gayor gong di negara Indonesia) iaitu satu peralatan yang dibina berasaskan kayu untuk menggantung alat muzik gong.
Stonton ketika ditemui berkata idea untuk menghasilkan gayor gong mula timbul apabila beliau terserempak dengan banyak serpihan kayu jenis pelaie yang tidak lagi digunakan oleh pemaju di tapak perumahan berhampiran.
“Kebetulan ketika itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasa dengan kebanyakan rakan sekerja termasuk saya meluangkan lebih banyak masa di rumah berbanding di tempat kerja.
“Justeru saya mula melayari YouTube untuk mempelajari cara menghasilkan gayor gong untuk dijadikan sebagai satu aktiviti utama pada waktu lapang ketika itu sementara kelonggaan penguatkuasaan PKP,” kata beliau.
Selain itu ilmu pertukangan yang ditimbanya ketika mengambil kursus Binaan Bangunan di Sekolah Vokasional Betong (kini sudah diangkat sebagai kolej) dari tahun 1999 hingga 2000 juga turut dimanfaat bagi menghasilkan peralatan itu.
Malah ilmu dan tunjuk ajar yang diberi oleh mendiang bapanya kata Stonton yang gemar bertukang ketika hayatnya dahulu turut dimanfaat untuk menghasilkan gayor gong berkenaan di rumah.
“Saya juga turut mempelajari cara menghasilkan reka bentuk ukiran gayor gong yang menarik di laman web Google dengan jiran sebelah rumah amat bermurah hati meminjamkan mesin Jig Saw (gergaji bulat) dan pencanai elektrik (grinder) bagi tujuan itu.
“Dengan berbekalkan serpihan kayu pelaie, cat, berus, mesin gergaji bulat dan mesin pencanai elektrik, saya kemudiannya memulakan kerja menghasilkan gayor gong berkenaan di rumah sehingga ia berjaya disiapkan dalam masa seminggu,” kata beliau.
Stonton memberitahu telah berjaya menghasilkan dua gayor gong bagi tujuan perhiasan di rumah dan bercadang mahu mempelajari ilmu penghasilan peralatan tersebut dengan lebih cantik di masa akan datang.
“Kini saya kembali sibuk bertugas di konti untuk menghiburkan pendengar setia stesen Wai FM Iban dan dalam pada masa sama turut bertungkus lumus menyiapkan drama komedi Tembawai Kanyuk The Series.
“Jika ada waktu terluang baharulah saya akan kembali menghasilkan gayor gong. Kini dua gayor gong yang telah saya hasilkan menjadi perhiasan penting di rumah dan bukti kepada minat mendalam saya terdapat seni ukiran tradisional kaum Dayak,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG