
KUALA LUMPUR: Siapa sangka ilham yang boleh dikatakan tidak masuk akal dan tercetus ketika zaman kerja sambilan berdekad lalu boleh menjadi kenyataan?
Pereka fesyen Hatta Dolmat membuktikan bahawa tidak ada yang mustahil apabila beliau berjaya mencipta busana pengantin couture yang bukan sahaja indah di mata tetapi juga boleh dimakan.
Seberat 90 kilogram, busana itu diperbuat daripada kek sebenar menerusi kerjasama beliau dengan jenama pencuci mulut tempatan Gula Cakery.
Gaun kembang berlapis-lapis yang disarung oleh seorang model itu lengkap dengan perincian bunga “gum paste” halus seperti yang ada pada kek pengantin khususnya.
“Cabaran paling utama ialah menghasilkan struktur kek yang bukan sahaja stabil, tetapi juga bolehkan model bergerak di atas pentas. Pada asalnya kami rancang gunakan troli, namun model tidak sesuai disorong, jadi kami terpaksa cari jalan untuk membolehkan dia berjalan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen bersempena dengan pelancaran rasmi KahwinFest 2025 baru -baru ini.

Menurut pereka berusia 42 tahun itu, idea menghasilkan busana daripada kek tercetus ketika zaman beliau bekerja sambilan di hotel selepas tamat pengajian, apabila sering melihat cef menyediakan kek.
“Saya pernah berangan untuk hasilkan kek yang boleh jadi baju. Kedengaran agak gila, tapi impian itu akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya yang turut menerima pengiktirafan kedua daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pereka Fesyen Malaysia Pertama Yang Menganjurkan Pertunjukan Fesyen Konseptual Dengan Busana Couture Diperbuat Daripada Kek.
Hatta turut mempersembahkan lapan rekaan berasaskan kek dalam acara itu termasuk rekaan untuk lelaki.
Menurutnya projek kreatif itu menyaksikan gabungan dua bidang berbeza, iaitu fesyen dan seni pembuatan kek dalam satu persembahan yang cukup unik menerusi kapsul fesyen yang belum pernah disaksikan sebelum ini di Malaysia.
Katanya pembinaan busana kek tersebut memerlukan perancangan rapi dari segi reka bentuk, struktur dalaman dan bahan yang digunakan agar ia kekal stabil dan selamat dipakai.
Cef utama projek tersebut, Azmir Yusoff berkata cabaran terbesar dalam penghasilan kek tersebut ialah dari segi mekanikal dan logistik, memandangkan struktur kek perlu dibina secara ‘Do-It-Yourself’ (DIY) dan cukup kukuh untuk digerakkan oleh seorang model.
“Kami bina sendiri platform kek ini selepas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” jelasnya, menambah itu kali pertama mereka menerima tempahan kek “boleh bergerak”.
Menurut beliau, sebuah lori khas dilengkapi sistem lif digunakan bagi membawa kek tersebut dari studio ke lokasi acara bagi memastikan tidak berlaku kerosakan.
Kek bertemakan Neapolitan itu menggabungkan tiga perisa, iaitu coklat lembap, vanila dan red velvet.
Selain itu, lebih 1,500 kuntum bunga gum paste buatan tangan serta 1,500 titik royal icing dipaip halus secara manual pada rekaan ‘busana’ kek berkenaan.
Azmir yang dibantu Shaiful Izwan dan tiga lagi petugas, berkata rekaan akhir turut melibatkan penggunaan fabrik boleh dimakan yang diperbuat daripada gabungan gelatin dan coklat putih dengan kesemuanya dihasilkan melalui buatan tangan. — BERNAMA