KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) masih menunggu laporan polis berhubung kes disyaki penderaan kanak-kanak di dua taska di Pahang sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pihaknya bagaimanapun sudah menghubungi pihak pelindung bagi menyediakan laporan berkaitan kes berkenaan, susulan laporan polis yang diterima.
“Kita apabila menerima maklumat seperti itu, kita masih lagi membantu dan menunggu pihak polis untuk memberi laporan. Cuma pelindung kita terus dihubungi untuk menyediakan laporan.
“Sebab itu kita terpaksa menunggu laporan polis, baru kita dapat bertindak. Cuma dari segi pelindung, pelindung dengan pihak polis ini bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Universiti i-CATS Kuching, di sini, hari ini.
Nancy berkata, kerjasama antara pihak polis dan pelindung penting bagi memastikan proses perundangan dapat dilaksanakan sekiranya kes berkenaan dibawa ke mahkamah.
“Kerana polis nak bawa kes ke mahkamah, dia memerlukan laporan daripada pelindung,” katanya.
Sebelum ini, dua wanita masing-masing berusia 31 dan 26 tahun yang juga kakitangan taska direman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki penderaan kanak-kanak di sebuah taska di Kuantan dan Temerloh.
Wanita berusia 31 tahun direman bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan yang disyaki dikasari di sebuah taska di kawasan Bukit Setongkol, Kuantan, manakala wanita berusia 26 tahun pula disiasat berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki dikasari pengasuh di sebuah taska di Temerloh.
Kedua-dua kes berkenaan mendapat perhatian selepas rakaman video yang memaparkan kanak-kanak disyaki dikasari pengasuh tular di media sosial.





