
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mengambil tindakan termasuk menyediakan khidmat kaunseling kepada tiga remaja yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti berorientasikan keganasan berkaitan kumpulan Islamic State (IS) melalui media sosial baru-baru ini.
Beliau berkata kes tersebut melibatkan individu berusia bawah 18 tahun dan tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kita perlu melihat dahulu hasil siasatan pihak polis dan memahami apa sebenarnya yang menjadi kebimbangan atau isu di sebalik kes tersebut.
“Jika khidmat kaunseling diperlukan, kita akan memastikan kaunselor yang terlibat mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan dengan kesalahan yang didakwa dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Shopping Raya Pekema Sarawak Bersama Anak-Anak Asnaf dan Anak Yatim di sebuah pusat membeli-belah di sini, hari ini.
Menurutnya, kementerian perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai kes berkenaan terlebih dahulu sebelum menentukan bentuk bantuan yang sesuai untuk diberikan.
Nancy turut menjelaskan bahawa kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes tersebut sebelum sebarang langkah susulan diambil.
“Kita perlu mengesahkan dahulu apa sebenarnya kesalahan yang dilakukan dan bagaimana perkara itu berlaku di media sosial sebelum bertindak,” tegasnya.
Oleh Adele Rissa