Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • KPWKM sentiasa bersiap siaga hadapi risiko banjir susulan hujan berterusan
  • TEMPATAN

KPWKM sentiasa bersiap siaga hadapi risiko banjir susulan hujan berterusan

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Nancy Shukri bercakap kepada media selepas Program Kembara Mindness Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Serahan Zakat dan Bakul Makanan kepada Golongan Asnaf bagi Zon Bako di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, Demak Laut, hari ini.

BAKO: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir.

Langkah ini diambil susulan hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini, bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terjejas dapat dijamin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, berkata persiapan telah dilakukan lebih awal termasuk memperkukuh fungsi pangkalan hadapan atau mini depot di kawasan berisiko.

Menurut beliau, pangkalan hadapan diwujudkan di lokasi strategik terutama di kawasan kecil atau pedalaman yang jauh dari pangkalan utama bagi memastikan bekalan bantuan dapat disalurkan tanpa kelewatan.

“Kita sudah bersedia dan sentiasa bersedia. Pangkalan hadapan ini adalah mini depot dan kita pastikan ia sentiasa diisi semula, jadi dari segi bantuan tidak ada masalah, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Kembara Mindness Kaunseling Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Serahan Zakat dan Bakul Makanan kepada Golongan Asnaf bagi Zon Bako di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, Demak Laut, hari ini.

Beliau menjelaskan, kementerian juga menyediakan sistem pendaftaran bantuan secara dalam talian menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi memudahkan mangsa mendaftar.

Bagaimanapun, katanya, bagi mereka yang tidak mempunyai akses internet, pejabat daerah akan membantu menguruskan pendaftaran supaya tiada mangsa tercicir daripada menerima bantuan.

Nancy turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan menghadapi banjir sudah menjadi kebiasaan dan prosedur operasi standard kementerian, khususnya di negeri yang sering berdepan musim tengkujuh.

Dalam aspek koordinasi, beliau berkata setiap jawatankuasa pengurusan bencana di daerah akan diketuai oleh pejabat daerah masing-masing mengikut susunan yang telah ditetapkan.

“Kita bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Menurut beliau, seramai 4,785 kakitangan telah diatur gerak bagi menghadapi situasi banjir, termasuk 155 kaunselor atau pegawai kaunseling yang ditempatkan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut dibantu 5,744 sukarelawan serta 976 anggota pasukan sokongan psikososial yang sentiasa bersedia di PPS untuk membantu mangsa, termasuk mengendalikan aktiviti dan sokongan emosi.

Beliau mengingatkan bahawa keadaan hujan berterusan, khususnya di Kuching yang dilaporkan berlaku hampir setiap hari, memerlukan semua pihak meningkatkan kewaspadaan.

“Kita perlu berhati-hati. Ini menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kawasan yang mungkin dilanda banjir akan segera dibantu,” katanya.

Tambah beliau, KPWKM bersama JKM akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan bantuan disalurkan dengan cepat serta tersusun demi kebajikan rakyat yang terjejas.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: APM Kuching terus siaga, paras air menurun dan jalan masih boleh dilalui
Next: Nancy santuni asnaf Zon Bako, tekankan kepentingan kesihatan mental

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.