KPWKM sedia perluas langkah penutupan taska jika cuaca capai tahap bahaya 

Facebook
WhatsApp
NANCY Shukri ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Lundu, hari ini.

TELOK MELANO: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyelaraskan arahan penutupan taman asuhan kanak-kanak (taska) di seluruh negara sekiranya keadaan cuaca mencapai tahap bahaya yang ditetapkan.

Menterinya, Dato’ Seri Nancy Shukri berkata, tindakan sama seperti yang sedang dilaksanakan di Sarawak boleh diperluas ke negeri-negeri lain sekiranya berdepan keadaan cuaca yang memerlukan langkah keselamatan berkenaan.

Katanya, sebarang arahan perlu mengambil kira peraturan dan tahap bahaya yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terus menjadi keutamaan.

“Sekiranya ia melebihi satu tahap yang perlu kita patuhi, maka kita harus sekurang-kurangnya memberi arahan yang sama.

“Peraturan itu adalah satu peraturan sejagat yang perlu dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano, Lundu, hari ini.

Nancy berkata, pelaksanaan langkah berkenaan ketika ini lebih tertumpu kepada Sarawak, namun KPWKM perlu turut melihat keadaan di negeri-negeri lain bagi memastikan tindakan yang diambil dapat diselaraskan di seluruh negara.

“Sekarang ini Sarawak sudah mula melaksanakannya. Maka kita perlu juga melihat kepada keadaan di tempat-tempat lain, sama ada di Sarawak ataupun seluruh negara supaya kita dapat menjalankan tugas mengikut apa yang telah ditentukan,” katanya.

Menurutnya, aspek keselamatan perlu diberi perhatian khusus apabila keadaan cuaca memberi risiko kepada kanak-kanak, selain memerlukan perancangan sekiranya penutupan berlarutan sehingga menjejaskan tempoh mereka berada di institusi pendidikan dan penjagaan.

Katanya, pengalaman ketika pandemik COVID-19 membuktikan sistem dan peraturan berkaitan boleh dilaksanakan sekiranya semua pihak mematuhinya.

“Kita percaya seperti mana waktu COVID-19, semuanya kita telah patuhi peraturan yang telah diaturkan. Insya-Allah, saya rasa kita di Malaysia ini tidak mempunyai masalah untuk memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata pengaturan kerja dari rumah bagi warga KPWKM juga perlu diteruskan sekiranya keadaan berkenaan berpanjangan.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan operasi kementerian terus berjalan walaupun langkah keselamatan tambahan perlu dilaksanakan susulan keadaan cuaca.

“Taska pun sama, cuma itulah sebab kerja dari rumah juga masih perlu diteruskan sekiranya ini akan diteruskan,” katanya.

Sebagai perkembangan semasa keadaan jerebu di Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memaklumkan sebanyak 591 sekolah melibatkan 197,323 murid ditutup sementara berkuat kuasa serta-merta pada 20 dan 21 Ogos susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa lokasi yang mencapai tahap tidak sihat.

Oleh Afiq Sallehi