KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan kira-kira RM728.5 juta bagi memperkasakan kebajikan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit kronik di seluruh negara setakat Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan tersebut disalurkan menerusi Bantuan Warga Emas (BWE) serta Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT).
“Dalam usaha meringankan beban keluarga, JKM turut menyediakan Bantuan Penjagaan OKU Terlantar, Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar kepada mereka yang memenuhi syarat.
“Sehingga Jun 2026, sebanyak 42,036 penerima di seluruh negara telah menerima bantuan ini dengan jumlah perbelanjaan lebih RM119.5 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sokongan Penjaga Insan Sejahtera (SPeKTRUM) Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, di sini hari ini.
Nancy berkata dalam tempoh yang sama, BWE telah disalurkan kepada 170,133 penerima di seluruh negara, melibatkan jumlah melebihi RM609 juta.
Mengulas mengenai pengagihan di Sarawak, beliau berkata sebanyak 23,034 warga emas di negeri ini menerima manfaat BWE melibatkan peruntukan melebihi RM94.3 juta, manakala lebih RM10.4 juta diagihkan kepada 3,235 penerima bagi bantuan BPT di negeri ini.
Dalam pada itu, Nancy berkata usaha memperkukuh ekosistem penjagaan negara amat penting, khususnya bagi memastikan kebajikan para penjaga yang menguruskan golongan berkenaan turut dipelihara.
Katanya, tanggungjawab menguruskan insan yang uzur dan terlantar tidak sepatutnya diletakkan di bahu keluarga semata-mata tanpa sokongan padu daripada pelbagai pihak.
“Sebab itulah menerusi SPeKTRUM, penjaga diberikan latihan, sokongan psikososial dan motivasi supaya mereka dapat memberikan penjagaan terbaik tanpa mengabaikan kesihatan diri sendiri,” katanya. – Bernama





