Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • KPWKM mula kajian Lelaki Budiman Negara bulan ini – Nancy
  • NASIONAL

KPWKM mula kajian Lelaki Budiman Negara bulan ini – Nancy

Utusan Sarawak 6 hours ago
MENTERI Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pada Majlis Perasmian Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian (KPWKM) Datuk Dr. Maziah Che Yusoff (dua,kiri) dan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memulakan Kajian Lelaki Budiman Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bulan ini bagi merangka dasar dan inisiatif pemerkasaan lelaki yang lebih menyeluruh serta berasaskan bukti.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kajian yang dilaksanakan selama 18 bulan itu akan membantu kerajaan merangka Inisiatif Lelaki Budiman Negara bagi melahirkan golongan lelaki yang berdaya tahan, bertanggungjawab dan mampu menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan keluarga serta pembangunan negara.

Beliau berkata kerajaan menyedari agenda pemerkasaan lelaki perlu dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh, bukan sekadar dari aspek kepimpinan atau ekonomi, sebaliknya turut merangkumi kekuatan jiwa, kestabilan emosi, kematangan pemikiran serta keupayaan memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.

MENTERI Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri beramah mesra bersama para tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Foto BERNAMA

“Pada masa yang sama, pemerkasaan lelaki perlu berteraskan prinsip kehormatan gender, iaitu budaya saling menghormati, menghargai dan memuliakan maruah setiap insan.

“Lelaki budiman bukanlah lelaki yang mendominasi, sebaliknya lelaki yang memimpin dengan hikmah, berkongsi tanggungjawab dan menghormati wanita sebagai rakan kongsi dalam membina keluarga,” katanya ketika merasmikan Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di sini, hari ini.

Nancy berkata forum itu menjadi platform strategik untuk menghimpunkan pandangan, pengalaman dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan tentang cabaran semasa yang dihadapi golongan lelaki menerusi pendekatan Public-Private-People Partnership (4P).

Beliau berkata dapatan dan syor daripada forum itu akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar serta pembangunan program bagi agenda pemerkasaan lelaki di Malaysia, termasuk pelaksanaan Kajian Lelaki Budiman Negara.

MENTERI Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Konsultatif Pemerkasaan Lelaki di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto BERNAMA

Nancy menegaskan bahawa usaha memperkasakan lelaki memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh memandangkan golongan itu kini berdepan dengan cabaran sosial, ekonomi dan kesihatan mental yang semakin kompleks.

Beliau berkata statistik menunjukkan cabaran berkenaan tidak boleh dipandang ringan apabila kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki direkodkan hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita.

Selain itu, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan 4.6 peratus penduduk berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan.

Nancy berkata tekanan ekonomi turut menjejaskan kesejahteraan keluarga apabila hutang isi rumah berada pada paras 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata statistik perceraian pula meningkat 4.1 peratus kepada 60,457 kes pada 2024, dengan tekanan kewangan, kegagalan mengurus nafkah serta konflik rumah tangga yang berpanjangan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada keretakan institusi keluarga.

“Kebimbangan ini diperkuat lagi apabila statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 menunjukkan 95 peratus pelaku ialah lelaki,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Lebih RM500 juta pembiayaan mikro diluluskan, manfaatkan 30,000 usahawan bagi tempoh 15 Mei-26 Jun – Amir Hamzah
Next: MCMC lengkapkan kerangka kawal selia, instrumen subsidiari Akta 866 – Fahmi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.