
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji keperluan untuk menambah kemudahan Anjung Kasih di Sarawak bagi menampung keperluan pesakit serta keluarga dari luar bandar.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, keperluan terhadap kemudahan tersebut dilihat semakin meningkat, khususnya melibatkan pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dalam tempoh yang panjang.
Menurutnya, faktor jarak serta kekangan kemudahan menyebabkan ada dalam kalangan keluarga pesakit terpaksa menunggu di kaki lima dan lobi hospital kerana tidak mempunyai tempat penginapan.
“Ada yang menunggu di kaki lima, di lobi hospital, keadaan ini tidak selesa dan kita faham kesukaran yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Ziarah Kasih KPWKM bersama Menteri KPWKM di Kampung Tabuan Lot, di sini, hari ini.
Nancy berkata, setakat ini terdapat 19 buah Anjung Kasih di seluruh negara yang menyediakan kemudahan penginapan sementara kepada keluarga pesakit.
Tambahnya, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk pembinaan kemudahan baharu serta konsep mini Anjung Kasih di kawasan tertentu, khususnya di luar bandar.
“Di Sarawak dan Sabah, keperluannya lebih tinggi kerana ramai pesakit datang dari kawasan jauh untuk mendapatkan rawatan termasuk dialisis,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan projek menaik taraf bekas kuarters jururawat berhampiran Hospital Umum Sarawak sebagai Anjung Kasih kini dalam perancangan.
Menurutnya, bangunan tersebut akan dijadikan kemudahan penginapan untuk keluarga pesakit, manakala Yayasan Kebajikan Negara akan membantu dari segi penyediaan kelengkapan dalaman.
Oleh Shahrul Qaizat