KOTA SAMARAHAN: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) menyasarkan sekitar 500 pelajar bagi pengambilan kumpulan pertama apabila operasi pembelajarannya di Kota Samarahan dijangka bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, buat permulaan, KPTM akan beroperasi di premis sementara berhampiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang kini sedang dalam proses pengubahsuaian.
“Kita telah menyewa lot kedai di hadapan UNIMAS yang masih dalam proses pengubahsuaian. Insya-Allah tahun hadapan kita boleh mulakan kelas di Sarawak, khususnya di Kota Samarahan.
“Bagi pengambilan awal, kita sasarkan sekitar 500 pelajar untuk kumpulan pertama,” katanya pada sidang media sempena Program GEMA@KKDW Sarawak 2026 di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Menurut Rubiah, perancangan pembangunan kampus tetap KPTM di Kota Samarahan masih di peringkat awal dan tertakluk kepada proses serta kelulusan berkaitan.
Sehubungan itu, operasi awal akan menggunakan premis sementara yang sedang diubah suai, manakala kemudahan penginapan sedia ada di sekitar Kota Samarahan turut dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan pelajar.
Beliau berkata, pembukaan KPTM di Sarawak bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan pendidikan kepada anak negeri ini, khususnya mereka yang tidak mendapat tempat dalam program asasi atau universiti awam.
“Kelebihan KPTM ialah kita menawarkan kursus yang diperlukan universiti di Sarawak, khususnya kursus teknikal yang diperlukan kerajaan negeri.
“Ini supaya mereka mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian ke universiti di Sarawak yang menyediakan pendidikan percuma bagi bidang berkaitan,” katanya.
Rubiah berkata, ketika ini terdapat sekitar 1,800 pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian KPTM di Kuala Lumpur.
Oleh Norman B





