

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti langkah bersesuaian bagi membantu warga kampus, khususnya mahasiswa dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup susulan krisis tenaga global yang semakin meruncing.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata krisis berkenaan memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada ekonomi global, malah turut menjejaskan pengurusan kewangan dalam kalangan staf, ahli akademik dan pelajar institusi pendidikan tinggi.
Zambry berkata semalam beliau menerima kunjungan beberapa wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi membincangkan langkah yang boleh diambil kementerian dan kerajaan dalam membantu warga kampus menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup termasuk harga makanan dan keperluan harian.
“Beberapa idea dan cadangan telah dikemukakan. Saya telah meminta pihak pegawai untuk meneliti perkara ini secara serius dan memberikan perhatian sewajarnya.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat, saya akan mengumumkan perancangan serta langkah awal yang disarankan oleh KPT bagi menangani isu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menegaskan bahawa yang lebih penting, suara mahasiswa bukan sahaja didengar, malah akan diterjemahkan kepada tindakan. – Bernama